KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal meraikan perjalanan seni selama tiga dekad dalam industri muzik menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni.
Ia sekali gus menzahirkan dedikasi, kecintaan dan keikhlasan terhadap muzik yang turut mengangkat martabat seni tanah air ke persada antarabangsa.
Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi paling sesuai untuk menghimpunkan peminat dari seluruh negara dan rantau Asia.
Penganjur, SN Legacy Sdn. Bhd., menegaskan penganjuran di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecahkan rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih selesa, epik dan penuh makna buat peminat.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun,” kata Siti.
Beliau turut menegaskan bahawa konsert bersejarah itu adalah ruang untuk meraikan peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kerjayanya.
“Saya mahu peminat bersama-sama menghayati semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah kerjaya saya,” katanya yang telah merakam lebih 20 album sepanjang karier.
Menariknya, penganjuran konsert tersebut bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka menarik kehadiran peminat antarabangsa sekali gus menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan khas oleh Cuckoo dengan AFFIN Bank sebagai penganjur utama. Bagi menghargai pelanggan setia, Pra-Jualan Eksklusif AFFIN akan dibuka bermula 1 Oktober 2025, jam 12 tengah hari hingga 3 Oktober 2025, khusus untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN.
Jualan tiket untuk orang ramai pula bermula pada 3 Oktober 2025, jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com dengan harga bermula RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.
Konsert tersebut dijangka menjadi persembahan bersejarah Siti Nurhaliza dalam dekad ini, melambangkan rasa syukur serta cinta beliau terhadap peminat yang sentiasa menjadi nadi perjalanan seninya.






