Tilly Norwood Diumumkan Sebagai Pelakon AI Pertama
Effi Saharudin
S1m0ne ialah filem fiksyen lakonan Al Pacino, Winona Ryder dan Evan Rachel Wood yang diterbitkan pada tahun 2002. Jalan cerita filem ini ialah seorang pengarah mencipta pelakon maya yang dijana sepenuhnya oleh komputer menggantikan pelakon manusia. Gimik promosi filem ini ialah teknologi CGI pada waktu tersebut sudah cukup berkuasa menghasilkan watak S1m0ne tetapi realitinya ia dilakonkan oleh bakat baharu Rachel Roberts.
Dua puluh tiga tahun sudah berlalu dan fiksyen filem S1m0ne kini menjadi realiti apabila Tilly Norwood diumumkan sebagai pelakon kecerdasan buatan (AI) pertama dunia di Festival Filem Zurich. Walaupun ianya sekadar rekaan firma Xicoia, Norwood dilaporkan mendapat perhati beberapa agensi lakonan yang ingin menjadikan ia pelanggan yang berlakon dalam filem sebenar.

Reaksi daripada pelakon sebenar dan peminat filem rata-ratanya ialah negatif kerana ia dilihat sebagai usaha menggantikan bakat manusia sebenar dengan pelakon digital. Di Hollywood reaksinya lebih negatif kerana beberapa tahun lalu ahli SAG-AFTRA mogok selama beberapa bulan bagi memastikan studio filem tidak menggunakan imbasan 3D pelakon dan karya penulis untuk menjana watak serta skrip AI.
Selepas menerima cemuhan industri, akaun Instagram Tilly Norwood mengeluarkan kenyataan mengatakan ia hanyalah sebuah eksperimen seni untuk melihat penerimaan sama ada orang ramai boleh menerima kewujudan pelakon AI.
Penggunaan AI generatif dalam industri hiburan sudah tidak boleh dihalang. Di Malaysia sahaja sudah wujud siri animasi TV3, muzik video Cat Farish serta KRU dan filem Abu Si Raksasa yang kesemuanya menggunakan teknologi AI. Seperti di Hollywood, tindakan karyawan tempatan menggunakan AI sebagai jalan pintar menerima kritikan negatif daripada penonton.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






