Lembaga Disiplin Bersatu bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat serta-merta ahli yang didapati bersalah melanggar peraturan dan merosakkan imej parti berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, lembaga disiplin terbabit berkata badan itu akan bersidang dalam masa terdekat dan memanggil ahli yang dirujuk untuk membela diri sebelum sebarang ketetapan diambil.
Katanya, lembaga disiplin memandang serius segala perkembangan dan kenyataan dikeluarkan beberapa ahli parti mutakhir ini.
“Semua ahli yang telah dirujuk kepada lembaga disiplin akan dipanggil untuk menghadiri prosiding secara rasmi bagi memberikan penjelasan serta membela diri mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Kami ingin menegaskan bahawa proses ini dijalankan dengan telus, adil, dan berlandaskan perlembagaan parti.
“Namun demikian, mana-mana ahli yang didapati bersalah melanggar disiplin dan merosakkan imej parti akan berdepan dengan tindakan tegas termasuklah pemecatan serta-merta,” kata badan itu dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, tampil menegaskan bahawa akuan bersumpah (SD) yang mencetuskan kontroversi sebelum ini bukan bertujuan untuk mengetepikan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.
Dia yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata SD tersebut merupakan tanda sokongan mereka kepada pelan peralihan kuasa yang sudah dipersetujui tahun lalu.

Namun, kenyataan itu mencetuskan perdebatan dalaman Bersatu. Beberapa pimpinan negeri, termasuk Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu, mendesak lembaga disiplin parti supaya mengambil tindakan segera terhadap Wan Saiful.
Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang, malah menggesa supaya Wan Saiful dipecat kerana mendakwa kenyataan yang dibuat semalam menjatuhkan maruah serta melemahkan parti.
Krisis dalaman Bersatu semakin memanas selepas Muhyiddin mendedahkan wujud usaha mengumpul tandatangan pemimpin parti untuk menyingkirkannya pada perhimpunan agung tahunan parti 9 Sept lalu.
Dalam sidang medianya semalam, Wan Saiful turut mengakui hubungan dia dengan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, dingin dan mengaitkan keadaan itu dengan dakwaan video di Sandakan yang kontroversi sebelum ini sebagai tulen.
Pada 25 Sept lalu, Lembaga Disiplin Bersatu terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil Wan Saiful berhubung isu SD bagi mendesak Muhyiddin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
Sementara itu, Lembaga Disiplin Bersatu turut mengingatkan ahli parti itu supaya Kekal fokus kepada perjuangan sebenar, mengelakkan diri dan menghentikan serta-merta sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh melemahkan parti.
Sebaliknya, kata badan tersebut, semua ahli perlu terus mendukung kepimpinan tertinggi parti.
“Disiplin adalah asas kekuatan kita, dan ianya mesti dipelihara bersama,” katanya.






