Ulasan Lenovo Legion Pro 5i – Hitam Itu Prestasi, Hitam Itu Premium
Nazrin
Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming berkuasa yang hadir dengan binaan premium, tetapi tidak terlalu menonjol, siri komputer riba gaming Lenovo Legion adalah diantara komputer riba yang saya akan cadangkan untuk anda.

Baru-baru ini, kami telah diberi peluang untuk menguji komputer riba Lenovo Legion Pro 5i, salah sebuah komputer riba gaming kelas premium mereka yang hadir dengan gabungan kuasa pemprosesan CPU Intel Core Ultra 200 HX dan juga NVIDIA GeForce RTX 5000 yang terbaru yang mampu menggerakkan permainan-permainan komputer baru pada resolusi, tetapan grafik dan kadar segar semula yang tinggi.
Rekaan Dan Spesifikasi
| Lenovo Legion Pro 5i | ||||
|---|---|---|---|---|
| Skrin | 16″ WQXGA, (2560 x 1600 pixel) | OLED, 165Hz/240Hz, 500 nits | ||
| CPU | Intel Core 9 Ultra 295HX | |||
| GPU | NVIDIA GeForce RTX 5070 8GB GDDR7 | |||
| RAM | 32 GB DDR4 3200 MHz | (2 x 16GB Dual Channel) | ||
| Muatan Dalaman | sehingga 1TB M.2 PCIe Gen4 | |||
| Kamera Utama | 1080p ThinkShutter | |||
| I/O | 2x USB-C Thunderbolt 4 | 2x USB-C 3.2 Gen 2 | 1x RJ45 | 1x HDMI 2.1 |
| Bateri | 80 Wh (4 Sel) | Pengecasan 240W | ||
| SIM/Telefoni | Tiada | |||
| WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/ax/6/7 | |||
| Bicu Audio | Ya | |||
| Kalis Air | Tiada | |||
| Sistem Imbasan | Windows Hello | |||
| Harga Jualan | Bermula Dari RM9142 (Lenovo Malaysia) |
Bermula dengan spesifikasi Lenovo Legion Pro 5i ini, seperti yang dikatakan, ia dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070. Model yang dihantar kepada kami hadir dengan konfigurasi Intel Core Ultra 9 275HX dan NVIDIA GeForce RTX 5070, bersama-sama dengan 32GB memori DDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Ia turut dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan pilihan kadar segar semula 165Hz ataupun 240Hz. Paparan ini juga menyokong teknologi paparan DisplayHDR 1000 True Black dengan nilai kecerahan 500 nits dan kemampuan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Dengan saiz yang agak besar ini, Lenovo Legion Pro 5i ini juga hadir dengan papan kekunci bersaiz penuh, lengkap dengan bahagian numpad, jika anda memerlukannya. Sebagai sebuah komputer riba gaming, Lenovo Legion Pro 5i ini dimuatkan dengan sistem pencahayaan lampu RGB 24 zona yang boleh diubahsuai mengikut kehendak pengguna melalui perisian Legion Spectrum dan Legion Space.

Dari segi palam pula, komputer riba ini dilengkapi dengan pilihan yang cukup banyak sekali. Pertama ialah dua palam Thunderbolt 4, dimana salah satunya hadir dengan sokongan pengecasan 140W, dan satu lagi dengan kadar penghantaran data 40Gbps dan boleh digunakan untuk menyambungkan komputer riba ke paparan skrin melalui antaramuka DisplayPort 2.1. Selain daripada itu ada juga dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar.
Untuk sambungan nirwayar, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan modul yang menyokong sambungan WiFi 6 ataupun WiFi 7, dan kedua-dua modul ini menyokong sambungan Bluetooth 5.4.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada logam aluminum dan hadir dengan rekaan yang serba minimalis dari luar ke dalam. Rekaan sebegini telah digunakan dalam banyak siri komputer riba Lenovo Legion sebelum ini, dan bagi saya sudah sebati dengan identiti jenama komputer riba tersebut untuk hadir dengan rupa sedemikian.
Walaupun Lenovo Legion Pro 5i ini hadir dengan rekaan yang boleh dikatakan padat, tetapi dengan semua komponen-komponen berkuasa dan sistem penyejukan yang terbina juga, komputer riba ini hadir dengan berat sekitar 2.5KG. Ini hampir menjadikan komputer riba ini sebuah pengganti desktop, tetapi apabila dibandingkan dengan komputer desktop sebenar, komputer riba ini masih lagi lebih mudah dibawa dan lebih cepat dipasang berbanding dengan sebuah komputer desktop.
Pengalaman Pengguna
Dalam pengalaman saya menggunakan komputer riba ini sebagai sebuah mesin gaming harian, saya akan katakan bahawa tidak kira apa permainan yang anda gerakkan sekalipun, saya akan katakan bahawa gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200HX terbaru dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 merupakan yang terbaik saya gunakan setakat ini.

Saya memainkan permainan yang dilihat sebagai paling sukar untuk dimainkan pada resolusi dan tetapan paling tinggi setakat ini, iaitu Cyberpunk 2077, pada resolusi maksima paparan (2560×1600) dengan kadar segar semula tanpa had (240Hz) dan juga tetapan paling tinggi, dan dengan gabungan CPU dan GPU yang diperlihatkan, kadar bingkai yang diperlihatkan adalah seringkali lebih tinggi dari 190FPS, dan bergantung kepada senario, melepasi 200FPS juga.
Dan ini adalah dengan ciri Ray-Tracing terbina, yang sebelum ini seringkali dikatakan adalah sebab mengapa permainan komputer seringkali hanya boleh memperlihatkan kadar bingkai yang rendah walaupun ia hadir dengan olahan grafik yang cantik.

Lenovo juga mengatakan bahawa mereka telah bekerjasama dengan Intel untuk mengoptimasikan cip pemprosesan AI terbina yang dibangunkan mereka sendiri yang dinamakan Lenovo LA AI Core. Perbezaan cip AI ini dengan banyak cip AI yang lain ialah ia digunakan untuk mengoptimasikan kadar penggunaan kuasa pemprosesan cip yang terbina, dan ini secara langsung membolehkan pengguna untuk memanfaatkan komputer riba sebagai sebuah komputer utama khususnya jika anda seorang penstrim kandungan.

Sebagai contoh, pengguna boleh menggunakan Lenovo Legion Pro 5i ini untuk bukan sahaja memainkan permainan-permainan komputer kegemaran mereka, tetapi juga sebagai sebuah komputer penstriman, menggerakkan kandungan yang dimainkan dan juga perkhidmatan penstriman ke Twitch atau YouTube pada masa yang sama.

Satu aspek kegemaran saya berkenaan komputer riba ini ialah paparan skrin OLED yang digunakan. Dengan nilai kecerahan 500 nits, sokongan untuk teknologi DisplayHDR 1000 dan juga NVIDIA G-SYNC, bukan sahaja olahan grafik atau video pada komputer riba ini kelihatan cantik, tetapi anda juga boleh menonton kandungan-kandungan anda dari pelbagai jenis sudut, termasuk dari hadapan, sisi, atas ataupun bawah.

Bagi anda yang mahu mengakses kemampuan pemprosesan terbaik pada komputer riba ini dengan cepat, Lenovo juga telah meletakkan pintasan papan kekunci yang membolehkan anda melakukannya tanpa perlu mengakses perisian Legion Space.
Untuk mengurangkan output haba daripada memberi kesan kepada bahagian papan kekunci komputer riba, Lenovo menggunakan sistem penyejukan Legion Coldfront: Hyper yang merupakan sebuah sistem paip haba dan dua kipas yang membantu mengalirkan haba dari komponen-komponen CPU, kad grafik, memori dan storan keluar dari ruang pengudaraan di bahagian belakang komputer riba.

Cuma, oleh kerana ini merupakan sebuah komputer riba dengan komponen berkuasa, saya akan katakan bahawa kipas penyejukan ini akan berputar dengan kuat sekali untuk mengalihkan haba daripada komponen dengan lebih cekap, jadi ini adalah satu kekurangan yang mungkin perlu diperhatikan jika anda menggunakan komputer riba ini.
Tetapi selain daripada itu, saya tidak pernah berasa tidak selesa apabila menggunakan papan kekunci komputer riba ini sewaktu gaming, yang menunjukkan bahawa sistem penyejukan tersebut berfungsi dengan baik.
Bateri
Lenovo Legion Pro 5i dilengkapi dengan bateri bersaiz 80Whr yang apabila digunakan secara biasa tanpa gaming, memperlihatkan ketananan sekitar dua ke tiga jam sahaja dengan satu pengecasan penuh. Jika ia digunakan untuk menggerakkan sebarang jenis permainan komputer, jangka hayat bateri tersebut akan terus merudum ke kurang dari 1 jam.

Komputer-komputer riba sebegini pada pendapat saya akan sentiasa ditambatkan kepada bekalan kuasa kerana keperluan pengguna untuk mengakses kuasa penuh cip pemprosesan dan kad grafik, jadi bagi saya ia bukanlah satu kekurangan besar sekiranya jangka hayat bateri tidak begitu panjang.
Jika ada satu kekurangan utama, ia mungkin adalah Lenovo Legion Pro 5i ini masih lagi menggunakan pengecas hak milik mereka untuk mendapatkan prestasi yang terbaik. Pengecasan penggunakan palam Thunderbolt 4 boleh digunakan, akan tetapi akan menjadi isu mungkin sekiranya anda mahu memain permainan komputer anda.
Ada Apa Dalam Kotak?
Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak sebuah komputer riba Lenovo Legion Pro 5i apabila anda membelinya di gedung atas talian Lenovo Malaysia.
- 1x Lenovo Legion Pro 5i
- 1x bongkah pengecas
- 1x kabel kuasa
- 1x panduan pengguna
Penutup
Jika anda mencari sebuah komputer riba yang memenuhi semua keperluan produktiviti, penstriman dan gaming anda, Lenovo Legion Pro 5i yang dikuasakan Intel Core Ultra 200HX dan NVIDIA GeForce RTX 5000 adalah perkakasan untuk anda.

Pengesyoran saya ialah untuk mendapatkan spesifikasi CPU Intel Core 9 Ultra 275HX, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 dengan pilihan memori 32GB DDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 1TB untuk pengalaman kerja dan riadah tanpa kompromi.

Spesifikasi ini, memperlihatkan kepada laman web Lenovo Malaysia, hadir dengan tanda harga kira-kira RM9,500-RM10,000 bergantung kepada harga diskaun semasa yang ditawarkan. Anda juga akan menerima beberapa aksesori dan perisian tambahan seperti beg galas dan perisian produktiviti Microsoft Office Home 2024 dengan pembelian komputer riba ini.
Pro:
- Prestasi gaming yang hebat
- Rekaan minimalis yang mengekalkan estetika premium
- Jumlah palam yang mencukupi untuk pelbagai aksesori
- Paparan yang terang dengan olahan warna jitu
- Papan kekunci bersaiz penuh
- Sistem penyejukan yang berkuasa
Kontra:
- Sentiasa perlu ditambat pada bongkah pengecasan kuasa
- Bunyi kipas penyejukan yang sangat kuat
- Masih menggunakan kabel dan palam pengecas hak milik mereka
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






