PAS merancang untuk mengadakan satu perhimpunan besar-besaran di ibu negara dalam masa terdekat bagi membantah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dijangka hadir ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan depan, susulan jemputan rasmi kerajaan Malaysia.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan solidariti menentang penindasan dan kezaliman yang didakwa dilakukan oleh pemimpin negara kuasa besar itu.
“Itu antara perancangan kita, sebagai menunjukkan bantahan dan saya kira bukan saja PAS tapi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, yang menentang kezaliman kemanusiaan ini saya rasa semua kita tak bersetuju dengan kedatangan itu,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Ketua whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian mengulas perancangan PAS mengadakan himpunan anti-Trump susulan jemputan Putrajaya kepada Presiden AS itu yang disifatkan sebagai ‘syaitan besar’ oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, semalam.
Takiyuddin berkata PAS bercadang menganjurkan demonstrasi itu dalam masa terdekat, sama ada sebelum atau semasa lawatan Trump ke negara ini.
“Jadi, saya merasakan insya-Allah kita akan mengadakan satu demo untuk itu dalam waktu terdekat. Mungkin sebelum dia datang atau semasa dia datang,” katanya.
Bagaimanapun, masa dan lokasi demonstrasi itu belum ditetapkan dan akan diumumkan kemudian.
Terdahulu, Abdul Hadi mengkritik keras jemputan kerajaan kepada Trump, yang digelarnya sebagai ‘syaitan besar’ kerana menyokong kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Dalam tulisan rencananya, Abdul Hadi berkata Trump secara terang-terangan bersekongkol bersama Israel dengan melakukan kekejaman melampau terhadap orang Islam di Palestin, khususnya di Gaza.
“Bahkan, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang berada di hospital.
“Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian, dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan. Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” tegasnya.
Abdul Hadi yang juga bekas duta khas ke Timur Tengah menegaskan, alasan menjemput Trump menyertai Sidang Kemuncak Asean adalah sangat rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.
Kerajaan sebelum ini menjelaskan keputusan menjemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan depan membuka ruang kepada negara anggota blok itu untuk menyatakan pendirian mereka secara terus berhubung isu Palestin.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kehadiran Trump membolehkan negara Asean menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta mengkritik sikap hipokrit sesetengah negara dalam menangani isu tersebut.
Pada 18 Sept lalu, AS menggunakan kuasa vetonya buat kali keenam di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan di Gaza.
Resolusi itu disokong oleh 14 daripada 15 anggota majlis dan ditaja oleh 10 negara anggota tidak tetap.
Teks tersebut turut menuntut Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza.
Angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 65,926 orang dengan 167,784 lagi cedera akibat konflik Hamas-Israel sejak 7 Oktober 2023.






