KUANTAN: Wakil-wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang mendesak agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan tindakannya mengadakan sidang akhbar bersama beberapa ahli parti itu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus dalam kenyataan bersama berkata, tindakan itu jelas bercanggah dengan prinsip disiplin, tataetika dan semangat kesetiaan yang menjadi tonggak perjuangan Bersatu.
“Perbuatan mengadakan sidang media tanpa merujuk kepimpinan parti hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta mencemar imej parti di mata rakyat.
“Sehubungan itu, kami mendesak Lembaga Disiplin parti supaya segera menyiasat insiden sidang media tersebut. Kami juga mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap individu yang terlibat, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.
“Semua ahli dan pimpinan Bersatu perlu memastikan disiplin parti diperkukuh agar tidak wujud sebarang ruang untuk tindakan bersifat sabotaj, fitnah, atau perpecahan dalaman,” kata dua ADUN tersebut dalam kenyataan di sini.
Semalam, Wan Saiful mengadakan sidang akhbar bersama beberapa ahli parti tersebut di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM yang antaranya menyentuh soal isu dalaman Bersatu.
Antara didakwa dalam sidang akhbar tersebut, Setiausaha Agung Bersatu. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa mengugut beberapa ketua bahagian parti tersebut supaya menarik balik daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.
Mengulas lanjut, Jasri dan Mohd. Yazid berkata, mereka yakin dan percaya bahawa ketegasan dalam soal disiplin akan memperkukuhkan perpaduan Bersatu, seterusnya memastikan parti tersebut terus berdiri sebagai sebuah wadah politik yang berwibawa, bersih dan fokus memperjuangkan nasib rakyat.
“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi dan pimpinan pusat parti dalam memastikan Bersatu kekal utuh menghadapi cabaran politik semasa,” katanya. – UTUSAN






