Bersatu Johor menggesa tindakan tatatertib segera diambil terhadap ahli majlis tertinggi parti, Wan Saiful Wan Jan, sambil menegaskan sokongan penuh kepada presiden parti, Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional.
Pengerusinya, Sahruddin Jamal berkata isu melibatkan Wan Saiful mesti ditangani segera oleh Lembaga Disiplin Bersatu bagi memastikan keyakinan terhadap kredibilitinya terpelihara.
“Sebagai sebuah organisasi politik yang berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika, sebarang pelanggaran disiplin atau tingkah laku yang menjejaskan imej parti tidak boleh dipandang ringan.
“Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah, agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sahruddin juga menegaskan Bersatu Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan Muhyiddin.
“Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor berdiri teguh menyatakan sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin Parti serta Perikatan Nasional.
“Kami yakin Kepimpinan beliau yang berwibawa, berintegriti dan berpandangan jauh mampu mengemudi dan menyelesaikan polemik yang berlaku kepada parti serta mampu menghadapi cabaran besar semasa,” tambahnya.
Sahruddin (gambar bawah) turut mengingatkan pimpinan dan ahli parti supaya menyelesaikan pertikaian dalaman melalui saluran rasmi dan bukan melalui media.

“Membawa isu dalaman secara terbuka ke media hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan, serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan.
“Parti ini perlu kekal sebagai wadah perjuangan yang matang, berdisiplin, serta sentiasa mengutamakan kepentingan bersama mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.
Semalam, Wan Saiful menegaskan sidang medianya hanya diadakan selepas ketua-ketua bahagian diserang secara berterusan, yang didakwa dilakukan pemimpin parti lain.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mengesahkan akan mengemukakan laporan balas kepada lembaga disiplin terhadap setiausaha agung Bersatu, Azmin Ali dan ahli majlis tertinggi, Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam perkembangan berasingan, Bersatu Negeri Sembilan dan Terengganu melalui pengerusi negeri masing-masing turut mengeluarkan gesaan serupa agar lembaga disiplin mengadakan pendengaran segera namun tanpa menamakan mana-mana pemimpin untuk dipanggil.
Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker berkata kepimpinan negeri percaya “sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan diri perlu dikemukakan melalui saluran yang betul.”
“Iaitu, di hadapan prosiding Lembaga Disiplin — dan bukan melalui sidang media atau kenyataan terbuka yang hanya melemahkan imej parti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris (gambar bawah) menegaskan tindakan tegas dan pantas penting bagi memastikan parti kekal kuat, berwibawa, dan dihormati.

“Kelewatan atau kelonggaran dalam menangani isu ini hanya akan menjejaskan integriti parti di mata ahli dan rakyat.
“Pada masa yang sama, kepimpinan negeri Terengganu mengecam tindakan pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan terbuka di media, yang jelas tidak menguntungkan parti malah menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinannya,” tegasnya.






