Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali menyifatkan penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen sebagai langkah kecil yang tidak memberi sebarang kesan besar kepada ekonomi rakyat.
Katanya, pengurangan harga itu hanya menampakkan kerajaan seolah-olah prihatin tetapi realitinya tidak membantu menangani beban kos sara hidup yang semakin menekan.

“Penjimatan beberapa ringgit sebulan daripada pengisian minyak kereta langsung tidak mengimbangi beban sebenar yang ditanggung rakyat.
“Kos barangan runcit, sewa rumah, bil utiliti hingga caj perkhidmatan terus meningkat, sedangkan gaji rakyat kekal statik.
“Macam bantu tapi tak bantu,” kata ahli Parlimen Kapar itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut Halimah, langkah kerajaan menurunkan harga minyak itu lebih bersifat kosmetik berbanding satu dasar ekonomi menyeluruh.
Dia menegaskan ia gagal menyelesaikan masalah asas seperti ketirisan subsidi, kebergantungan tinggi kepada import makanan, serta ketidakupayaan kerajaan mengawal kenaikan harga barang.
“Pengusaha dan peniaga jarang menurunkan harga barang meskipun harga minyak diturunkan.
“Akhirnya rakyat tidak merasai manfaat sebenar, sebaliknya terus dibebani dengan kos sara hidup tanpa strategi kerajaan yang berkesan,” katanya.

Pada 22 September lalu, kerajaan mengumumkan harga RON95 turun sebanyak 6 sen seliter berkuat kuasa minggu ini menerusi program pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95). Langkah itu diumumkan selepas pelaksanaan sistem subsidi bersasar diumumkan Putrajaya bulan lalu.
Hari ini, Budi95 diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, sebelum pelaksanaannya dilaksanakan sepenuhnya esok, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.






