Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menolak dakwaan kononnya dia seorang yang suka ‘merajuk’ atau sukar dibawa berbincang, menyifatkan label itu datang daripada orang kecewa dalam PKR yang tidak senang dengan pendiriannya menolak politik naungan.
Rafizi menegaskan dia sentiasa bersuara walaupun berbeza pandangan dengan perdana menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim, PAS atau Bersatu.
“Tidak, saya rasa isu orang yang kata suka merajuk ni ialah hanyalah segelintir musuh-musuh politik di dalam parti yang saya tak pandang (serius),” kata bekas timbalan presiden PKR itu pada wawancara bersama podcast KiniTV, Explain Sikit, Kini!.
Dia turut mengkritik keras budaya merebut jawatan dalam PKR yang menurutnya kini dibentuk oleh politik wang dan kronisme, bukannya perkhidmatan awam tulen atau prinsip demokrasi.

“Kerana orang yang nak mendapatkan tempat ni, dia tahu, dia tak payah pun diterima oleh rakyat. Orang tak kenal dia pun tak apa. Siapa kenal Ramanan sebelum ni?
“Tak apa, asalkan saya ada satu kabel besar dengan presiden parti, dan saya juga boleh bayar dan simpan beberapa kaki di bawah ini supaya bila pemilihan parti, saya bayar, dia orang menang, gini, gini, gini, maka saya tiba-tiba jadi orang besar parti dan saya buat keputusan.
“That is a sure way (ini pasti cara) untuk mematikan parti ini. And to me is the greatest betrayal (untuk saya ini pengkhianatan terbesar).
“Jadi, oleh kerana dia orang ni sebenarnya is jilted lover (orang yang kecewa).

“Jilted lover. Dia tak dapat tempat dengan saya. Because I refuse to play that game (kerana saya enggan ikut permainan itu),” katanya.
Rafizi merujuk kepada naib presiden PKR baru, R Ramanan — bekas bendahari agung MIC yang menyertai PKR dan pantas menduduki jawatan utama parti.
Rafizi sebelum ini konsisten mengkritik Ramanan, termasuk ketika dan selepas pemilihan parti, dengan kerap mempersoalkan kredibilitinya.
Malaysiakini sudah menghubungi Ramanan untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan Rafizi.
‘Tangan ghaib’ dalam PKR
Rafizi juga mendakwa PKR sudah lama dibelenggu budaya “tangan ghaib” — segelintir anggota yang membiarkan orang lain bekerja di depan khalayak manakala mereka bersembunyi di belakang untuk mencatur kuasa.
“Kalau nak hidden hands (tangan ghaib) semua ni, baik masuk Umno, PAS. Kemudian kamu boleh ‘kawtow’ dengan orang. The whole idea kenapa sebahagian daripada generasi saya menyertai politik melalui PKR, kerana kita rasa what you see is what you get (jujur).
“Kalau tidak, rakyat marah. Kerana orang yang berkempen untuk dapat undi rakyat ni bagi gambaran lain. Tapi ada hidden hands (tangan ghaib) di belakang kan,” katanya.

Menurut Rafizi, segala drama dalaman dan kritikan terhadapnya berpunca daripada keengganan dirinya menyertai budaya urusan di belakang tabir itu.
“Apa yang anda lihat itulah yang anda dapat. Merit lebih penting daripada apa-apa. Kalau kita biarkan budaya politik hidden hands ni berakar, maka itulah yang menyebabkan rasuah.
“Saya yakin sesiapa yang mahu jadi pemimpin mesti ada legitimasi dengan rakyat, dan legitimasi itu mesti daripada dirinya sendiri. Bukannya dengan berselindung, pak, tiba-tiba ada. Jadi, oleh sebab itu, apa lagi serangan yang dia boleh buat terhadap saya? Rasuah tak ada, itu tak ada, ini tak ada,” katanya.
Malaysiakini juga sudah menghubungi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh untuk mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan Rafizi tentang amalan dalaman parti.
‘Orang lupa saya boleh tumbangkan kerajaan‘
Rafizi berkata reaksi rakyat terhadap peletakan jawatannya daripada kabinet selepas kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan timbalan presiden PKR adalah positif.
Dia mengkritik budaya politik Malaysia yang menurutnya berpaut pada jawatan sehingga terpaksa dipaksa keluar, malah kadang-kadang masih menerima ganjaran saguhati ketika berundur — sesuatu yang disifatkannya tidak selari dengan kehendak rakyat.
Rafizi turut menyindir satu puak dalam PKR yang digelarnya “chaplos”, dengan mendakwa mereka tidak memahami denyut nadi rakyat.
Istilah “chaplos” bahasa slanga yang merujuk kepada pengampu politik.

Menurut Rafizi, individu ini digunakan semasa berkempen tetapi kemudian menuntut imbuhan apabila calon mereka menang, membolehkan mereka mengawal naratif parti dan menyalakan api pertelingkahan dalaman.
“Masalah kerana masa berkempen dulu, orang-orang yang macam ini (chaplos) yang digunakan untuk berkempen (pemilihan PKR)…
“Jadi, naratifnya ditetapkan oleh geng-geng ini. Dan sebab itu naratifnya hanya jadi, oh, merajuk, merajuk, merajuk.
“Kalau saya merajuk, saya dah masuk Bersatu atau PN lah. People forget I can bring this government down (orang lupa saya boleh jatuhkan kerajaan),” katanya menjelaskan keupayaan mengumpul lebih ramai ahli parlimen untuk keluar kerajaan berbanding pendahulunya, Azmin Ali.

Azmin pemimpin utama dalam Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020. Dia keluar PKR bersama 10 lagi ahli parlimen tetapi kalah di kerusi Gombak yang dipegang sejak 2004 pada PRU15.
Bagaimanapun, Rafizi menegaskan bukan niatnuya menumbangkan kerajaan sekarang dan dia akan menamatkan penggal penuh sebagai ahli parlimen Pandan.
“Yang paling penting sekarang ialah saya ada tanggungjawab sebagai ahli parlimen, dan saya berhasrat untuk terus berkhidmat sehingga habis penggal,” katanya.






