Malaysia Oversight

MMA minta MP bangkitkan isu elaun ‘on call’ doktor di Parlimen

By MkiniBM in September 28, 2025 – Reading time 2 minute
MMA minta MP bangkitkan isu elaun ‘on call’ doktor di Parlimen


Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa para anggota Parlimen untuk membangkitkan isu elaun on call doktor di Dewan Rakyat, dengan menegaskan kadar sedia ada tidak disemak selama lebih sedekad.

Presidennya, Dr Thirunavukarasu Rajoo turut menyeru agar perkara itu tidak digambarkan sebagai pertikaian antara doktor dan anggota Parlimen, susulan cadangan untuk menyusun semula elaun anggota Parlimen bagi membolehkan elaun pegawai perubatan dinaikkan.

“Bagi doktor, elaun on call bukan satu keistimewaan. Ia adalah pengiktirafan terhadap kerja yang sering menjangkau lebih 24 jam tanpa rehat sewajarnya, pada masa sama perlu membuat keputusan yang melibatkan hidup dan mati secara berterusan.

“Namun hari ini, elaun tersebut, apabila dipecahkan, hanya berjumlah RM9.16 sejam – kadar yang tidak pernah disemak selama lebih 10 tahun, walaupun tuntutan dan tanggungjawab yang dipikul oleh doktor semakin meningkat.

“Apabila doktor keletihan dan hilang motivasi, kesannya bukan sesuatu yang abstrak: keselamatan pesakit dan mutu penjagaan terjejas secara langsung.

“Menjaga mereka yang menjaga kesihatan negara mesti menjadi keutamaan, dan adalah tugas fidusiari anggota Parlimen untuk memastikan isu penjagaan kesihatan diberi perhatian serius yang sewajarnya dalam perbahasan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thirunavukarasu menambah bahawa gaji doktor, keseimbangan beban kerja dan pembangunan kerjaya adalah antara komponen yang menjadi asas untuk mengurangkan kadar berhenti kerja dan mengekalkan sistem kesihatan negara, dan orang awam berhak mendapat doktor yang cekap dan disokong secara saksama.

“Oleh itu, kami menyeru para anggota Parlimen untuk membahaskan isu ini dengan segera, bukan untuk manfaat doktor semata-mata tetapi demi keselamatan pesakit dan daya tahan sistem penjagaan kesihatan kita secara jangka panjang.

“MMA bersedia untuk dialog konstruktif dengan Speaker dan anggota Parlimen, dengan harapan agar bersama-sama kita dapat mencapai pembaharuan yang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia serta kelestarian perkhidmatan kesihatan negara,” katanya lagi.

8610c93ad8a01c700d14289a043d9850
Dr Akmal Saleh

Semalam, Ketua Pemuda , Dr Akmal Saleh mengecam Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berhubung isu bayaran elaun kepada doktor.

Ia selepas Johari menolak cadangan pemotongan 50 peratus elaun wakil rakyat bagi membiayai kenaikan elaun on call doktor.

Johari dilaporkan mendakwa bahawa doktor boleh menggunakan keseluruhan gaji untuk mereka sendiri, sementara anggota Parlimen dijangka mengeluarkan dana sendiri, daripada elaun bulanan RM25,000 mereka, untuk menguruskan pejabat, sumbangan kepada pengundi dalam pelbagai acara, dan menyumbang ketika kecemasan.



Source link