Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan lima individu termasuk pemilik syarikat lori yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Siasatan (awal) mendapati kali terakhir lori berkenaan diselenggara ialah pada April lalu. Pemandu lori terbabit juga mendakwa melompat keluar dari lori kerana berdepan dengan masalah brek.
“Namun, siasatan masih diteruskan bagi memastikan sama ada benar kenderaan tersebut mengalami masalah brek. Lori itu akan dihantar untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan.
Media semalam melaporkan, kemalangan kira-kira pukul jam 10.50 pagi itu menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun dan mencederakan tujuh individu lain.
Ia melibatkan sebuah lori, sebuah kereta, dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV).
Sementara itu, Naazron berkata ketika kejadian, bayi terbabit berada di dalam sebuah kereta bersama dengan ibu, nenek dan kembarnya.
“Semua ahli keluarga bayi terbabit sudah dibenarkan keluar dari Hospital Serdang selepas menerima rawatan, manakala mangsa lain yang menaiki dua kenderaan SUV masih menerima rawatan di Hospital Kajang dan sebuah hospital swasta di Kajang,” katanya.
Menurut Naazron, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– Bernama






