Malaysia Oversight

Kami menuju Gaza, lindungi kami Ya Allah- Zizi Kirana hampiri zon kuning

By Utusan in September 28, 2025 – Reading time 2 minute
Kami menuju Gaza, lindungi kami Ya Allah- Zizi Kirana hampiri zon kuning


PETALING JAYA: Penyanyi, Zizi Kirana, berdoa agar keselamatan dirinya dan para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) terus dipelihara Allah apabila kapal yang dinaiki mereka kini dilaporkan semakin hampir dengan zon kuning, iaitu kawasan berisiko tinggi sebelum memasuki perairan Gaza.

Menerusi hantaran di Instagram, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, turut berkongsi video suasana kapal yang sedang berlayar dalam misi kemanusiaan membawa bantuan serta solidariti buat rakyat Palestin yang dizalimi.

“Ya Rabb, kami sedang menuju ke Gaza. Jagalah dan lindungilah kami. Kami tak punya siapa-siapa tempat bergantung selain Engkau, Ya Allah,” katanya ringkas menerusi kapsyen yang dimuat naik.

Misi kemanusiaan ini turut berdepan ujian apabila beberapa insiden dilaporkan berlaku, termasuk serangan dron dipercayai dilakukan oleh rejim Zionis di perairan Tunisia dan juga Laut Mediterranean.

Perkembangan terkini turut dikongsikan salah seorang sukarelawan misi, Zainal Rashid Ahmad, yang memaklumkan bahawa sebanyak 53 buah kapal daripada Gabungan Flotilla Sedunia (GSF) dijangka tiba di perairan Gaza dalam tempoh empat hari lagi, sekiranya tiada sebarang halangan.

“Sebagai flotilla gerakan awam, bahaya pasti ada. Kita berdepan tentera paling zalim di dunia pada alaf ini. Kita doakan Palestin merdeka,” katanya.

Misi GSF yang turut disertai aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara ini mendapat perhatian ramai, termasuk rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa menerusi media sosial dan saluran rasmi penganjur.

Zizi sebelum ini sering menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin dan tidak ketinggalan menggunakan platformnya untuk mengajak orang ramai menyumbang serta mendoakan kesejahteraan penduduk di Gaza. -UTUSAN





Source link