Malaysia Oversight

Skandal rasuah Sabah bakal jatuhkan GRS macam 1MDB

By MkiniBM in September 28, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Warisan percaya skandal cari gali mineral yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin negeri akhirnya akan menjatuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Berucap pada mesyuarat Warisan Kinabatangan semalam, ketua penerangan parti itu, Mohd Azis Jamman mengimbas kembali skandal 1MDB yang membelenggu menjelang PRU 2018 dan menyumbang kepada kejatuhan parti itu buat kali pertama.

Dia menegaskan dalam PRU berkenaan ditolak oleh pengundi kerana skandal rasuah 1MDB walaupun tiada klip video yang menunjukkan mana-mana pemimpin berbincang mengenai rasuah ketika itu.

“Apabila kes 1MDB berlaku, adakah kita melihat sebarang klip video yang menunjukkan separuh daripada kabinet Malaysia (membincangkan rasuah) seperti yang telah tular di Sabah?

“Tidak ada, tetapi BN (ketika itu) tetap tumbang pada 2018 kerana pengundi di Semenanjung melihat bagaimana parti itu sudah rosak dari atas hingga ke bawah.

“Itulah sebabnya rakyat di Semenanjung menolak dan BN pada 2018,” kata Azis dalam klip video ucapannya yang dilihat oleh Malaysiakini.

Dia pernah dilantik sebagai timbalan menteri dalam PH selepas PRU ke-14 turut menyindir Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang didakwa memberikan sokongan kepada Bumi Suria Sdn Bhd (Bumi Suria) untuk mendapatkan lesen cari gali di kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Bumi Suria ialah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Adakah kita melihat mana-mana video (bekas perdana menteri) sewenang-wenangnya meluluskan (projek)?

“(Tetapi di Sabah) kelulusan (dikatakan) diberikan begitu sahaja untuk 70,000 hektar (tanah). Adakah anda tahu betapa besarnya 70,000 hektar? Itu tujuh kali ganda keluasan Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk rekod, pihak berkuasa tanah Sabah menafikan bahawa mereka menerima sebarang permohonan lesen penerokaan mineral daripada Bumi Suria.

Pada Julai lalu, portal berita MalaysiaNow menerbitkan klip audio mesyuarat yang didakwa diadakan oleh syarikat milik negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).

Lembaga pengarah syarikat itu dipengerusikan oleh Hajiji. Dia didakwa memberikan sokongan kepada Bumi Suria untuk mendapatkan lesen cari gali mineral bagi kawasan seluas 70,000 hektar.

Bagaimanapun, awal bulan ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengumumkan Farhash bersih daripada dakwaan skandal perlombongan tersebut apabila siasatan menunjukkan tiada lesen dikeluarkan kepada syarikat milik bekas individu yang pernah menjadi setiausaha kanan Ibrahim itu.

Sejak Julai lalu video yang mengaitkan pemimpin Sabah dengan skandal rasuah adalah sebahagian daripada siri pendedahan dikongsikan oleh pembocor maklumat, Albert Tei, yang sejak itu mendedahkan pelbagai pemimpin Sabah dan negeri terbabit.



Source link