Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan menggesa semakan menyeluruh dibuat terhadap undang-undang yang didakwanya “menghakis” kuasa perlembagaan dan hak kewangan negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kitingan yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata dia menyambut baik kenyataan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengkritik campur tangan kerajaan persekutuan dalam hal negeri, khususnya berkaitan undang-undang minyak dan alam sekitar.
Bagaimanapun, Kitingan menegaskan kebimbangan Sabah jauh melangkaui isu petroleum dan alam sekitar.
“Undang-undang persekutuan lain juga telah merampas kuasa dan hasil yang sepatutnya menjadi hak kita,” katanya dalam kenyataan.
Dia merujuk Akta Laut Wilayah 2012, yang mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada tiga batu nautika; Akta Perikanan 1985, yang meletakkan pemberian lesen laut di bawah kerajaan persekutuan; serta Akta Bekalan Elektrik 1990, yang meletakkan sektor tenaga Sabah di bawah kuasa persekutuan.
‘Bukan penyelesaian separuh jalan’
Walaupun kerajaan persekutuan sebahagiannya telah “memulangkan” kuasa pelesenan tertentu kepada Sabah, Kitingan menyifatkan langkah itu sebagai hanya bersifat kosmetik.
“Penurunan kuasa (kepada negeri) menjadikan Sabah masih terikat kepada undang-undang persekutuan dan bergantung pada budi bicara persekutuan. Apa yang Sabah perlukan bukan penurunan kuasa separa, tetapi pemulihan penuh kuasa untuk menggubal undang-undang, mengawal selia, dan memungut hasil daripada laut kita,” katanya.
Anggota Parlimen Keningau itu berkata lagi, campur tangan undang-undang sedemikian selama puluhan tahun telah menjadikan Sabah “lebih miskin, lebih lemah, dan lebih bergantung”, yang secara langsung bercanggah dengan janji dalam MA63.
Justeru, Kitingan menggesa tiga perkara dilaksanakan:
Kata Kitingan lagi, satu kajian perundangan dan perlembagaan yang menyeluruh perlu dijalankan bagi meunjukkan skala sebenar pencerobohan persekutuan terhadap autonomi Sabah.
“Hak kita bukan ihsan daripada Putrajaya. Ia adalah kewajiban yang sudah ditandatangani, dijanjikan, dan telah lama tertunggak,” tegasnya.
Isu berkaitan MA63 telah lama menjadi punca ketegangan antara Sabah, Sarawak, dan kerajaan persekutuan.
Pemimpin Sabah dan Sarawak berulang kali menuntut kawalan lebih besar terhadap hasil minyak, percukaian dan kuasa kawal selia, dengan menyatakan hak mereka di bawah MA63 telah terhakis selama beberapa dekad oleh undang-undang persekutuan.
Kerajaan telah berjanji untuk menangani isu berkaitan tuntutan MA63. Dua minggu lalu, kerajaan turut mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk cadangan menambah bilangan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak, urusan pelancongan, kuasa melantik pesuruhjaya kehakiman, serta penyerahan kuasa pengurusan alam sekitar.






