Malaysia Oversight

KKM nafi bedah siasat Syamsul Haris langgar SOP forensik

By MkiniBM in September 27, 2025 – Reading time 2 minute
KKM nafi bedah siasat Syamsul Haris langgar SOP forensik


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan semua kes bedah siasat forensik sentiasa berada di bawah pengawasan pakar patologi forensik.

Ini susulan pertikaian mengenai bedah siasat ke atas jasad kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsuddin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab menegaskan proses bedah siasat yang dijalankan ke atas Syamsul dilakukan mengikut prosedur forensik yang ditetapkan selepas menerima arahan daripada polis.

“Kes dirujuk kepada Pakar Patologi Forensik dan jasad dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor yang mempunyai fasiliti lengkap bagi memastikan pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh dan terperinci.

b2e51caed2b3489e4b103be70190665f

“Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor, dan bukan oleh Pegawai Perubatan Hospital Kota Tinggi, Johor seperti didakwa,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dia berkata KKM komited memastikan semua prosedur bedah siasat forensik dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berasaskan sains perubatan bagi menjamin keadilan serta ketelusan dalam setiap siasatan.

Semalam, peguam Naran Singh memberitahu Malaysiakini bahawa dia menuntut penjelasan mengenai penglibatan seorang pegawai perubatan dalam bedah siasat ke atas jasad Syamsul pada 29 Julai.

Naran berkata ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, sebelum ini menyatakan hasrat agar pakar forensik menjalankan bedah siasat apabila jenazah anaknya mula-mula dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

5b8b0815cebcdd6f99cd0aa848e59266

Namun, dakwanya meskipun Ummu sudah menyuarakan hasrat itu, pegawai perubatan sama dari Hospital Kota Tinggi telah ke Hospital Sultan Ismail – kira-kira 40km jauhnya – untuk melakukan bedah siasat tersebut.

Peguam itu berkata dia sudah menghantar surat mengenai perkara ini kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, pengarah Hospital Kota Tinggi, dan pakar forensik Hospital Sultan Ismail.

Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai. Dia sebelum itu menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) sebelum kematiannya.

Ummu mengesyaki wujud unsur jenayah selepas melihat kesan lebam dan mata berdarah pada jasad Syamsul sebelum dikebumikan, yang mendorongnya membuat laporan polis.

ecda388a97ff8202f0837c0c9c3d1302
Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Timbalan Ketua Polis Johor Abdul Latiff Mehat berkata pada 1 Ogos bahawa polis sedang menyiasat kematian Syamsul.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman berkata tiada unsur jenayah ditemui dalam kes itu manakala Menteri Pertahanan Khaled Nordin memaklumkan kementeriannya menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kematian Syamsul.

Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos bagi membolehkan jasad Syamsul digali semula, bedah siasat kedua dijalankan serta satu inkues diadakan berhubung kematiannya.

Pada 26 Ogos, pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu supaya jasad Syamsul digali semula dan bedah siasat kedua dilaksanakan.



Source link