Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, agar membatalkan jemputan yang diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.
“Amerika Syarikat dan (Presidennya) Donald Trump adalah dalang utama di belakang genosid yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin…
“Malaysia tidak boleh berdiam diri, kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tampil ke hadapan untuk menyatakan pendirian kita terhadap kekejaman Israel dan Amerika Syarikat,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu video yang dimuat naik ke media sosial.
“Saya merayu supaya Datuk Seri Anwar membatal jemputan kepada Trump kerana dia adalah pendokong jenayah kemanusiaan yang sedang dijalankan oleh Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya lagi.
Menegaskan Malaysia tidak boleh berdiam diri, Mahathir menggesa Anwar dan pentadbirannya agar mengambil pendirian yang tegas dan nyata terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel dengan sokongan daripada Amerika Syarikat.
“Ini adalah satu tanggungjawab moral yang amat besar.
“Kita mesti menunjukkan dengan jelas dan tanpa ragu kepada Israel dan AS bahawa walaupun negara kita kecil, Malaysia tetap berdiri teguh dan lantang menentang ketidakadilan serta penindasan mereka,” katanya.
Mahathir turut menyorot pengorbanan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin, dengan berkata mereka sanggup “bergadai nyawa” kerana tidak sanggup berdiam diri melihat jenayah terhadap kemanusiaan berlaku di depan mata.

“Kami, sebagai rakyat Malaysia, meminta kerajaan supaya membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump ke sidang kemuncak Asean,” ujarnya.
Mahathir berkata sehingga kini, Amerika Syarikat masih terus menyalurkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi meneruskan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
Anwar, yang secara konsisten mengecam tindakan Israel, mengesahkan Trump dijadualkan akan berada di Malaysia bulan depan sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Anwar turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri China, Li Qiang juga akan menghadiri sidang kemuncak tersebut manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin pula “sedang mempertimbangkan secara serius” untuk hadir.
Pada 6 September lalu, satu gabungan yang terdiri daripada 23 NGO telah mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap rancangan kunjungan Trump.






