Bilangan kerusi bagi kawasan parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya sebelum ini, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa kedua-dua negeri berkenaan memohon pertimbangan supaya bilangan kerusi parlimen ditambah.
“Buat kali pertama sejak 1963, Anwar yang sekarang jadi perdana menteri mengumumkan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, Tawau malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail serta Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud.
Sementara itu, Anwar berkata Dewan Undangan Negeri Sabah harus bubar selewat-lewatnya pada 11 Nov ini dan mengingatkan semua pihak agar kekal bersatu padu serta mengelak sebarang permusuhan yang boleh menggugat perpaduan.
“Kita pilih orang Sabah yang baik, kita pilih orang Semenanjung yang baik. Kita pakat kerajaan negeri, persekutuan yang baik untuk jaga kita… ini yang penting,” katanya sambil menyatakan pilihan raya negeri penting bagi membolehkan rakyat memilih pemimpin yang akan mewakili suara mereka.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi bahawa Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan dengan pelbagai aspek berdasarkan keperluan.
“Tadi (semalam), saya di Kota Kinabalu juga sempat melihat kesan banjir, bangunan sekolah, bantu soal tebatan banjir. Saya tengok keperluan tebatan banjir perlu RM39 juta, hari Isnin ini saya (hadir) mesyuarat, saya akan luluskan RM39 juta… itu cara kita,” katanya.
Dalam Belanjawan 2025 lalu, Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tinggi iaitu RM6.7 bilion sebagai tanda komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.
– Bernama






