Ahli perniagaan Albert Tei hari ini mempersoalkan reaksi pantas Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pendedahan video terbarunya yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan.
Kata Tei, reaksi perdana menteri adalah sangat berbeza berbanding ketika dia mendedahkan video dan dakwaan bukti rasuah membabitkan sembilan lagi pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak Nov lalu.
Mereka yang didakwa terlibat termasuk lapan Adun dan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya. Dua daripada mereka – bersama Tei – telah didakwa di mahkamah. Bagaimanapun status individu lain – termasuk anggota kanan kabinet Sabag, masih tidak jelas.
“Apa yang telah beliau lakukan dalam tempoh setahun?
“Beliau seolah-olah menutup matanya serta berpura-pura untuk tidak mengambil tindakan terhadap enam lagi ADUN dan Speaker DUN yang terlibat dalam kegiatan rasuah tersebut,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Tei menambah dia ingin bertanya jika perubahan sikap ditunjukkan Anwar itu – yang dianggap “luar biasa” – adalah berpunca daripada pendedahan terbarunya melibatkan Kitingan
Bahkan, dakwa Tei, sikap Anwar itu mengejutkan ramai orang.
“Saya ingin tanya kepada Anwar, adakah kerana sasaran kali ini ialah Jeffrey Kitingan yang mempunyai perselisihan dengan beliau sepanjang masa menyebabkan beliau berminat serta mengambil berat tentang tuduhan rasuah terhadap Jeffrey Kitingan?
“Saya ingin memberitahu Anwar selaku perdana menteri hari ini, jangan menunggang pendedahan saya sebagai bahan tawar-menawar atau ugut-mengugut untuk kepentingan agenda politik kamu di Sabah,” katanya lagi.
Rasa kelakar lihat ada Hajiji
Awal bulan ini, Tei mengumumkan dia akan mengambil “langkah luar biasa” untuk mendapatkan keadilan dan memberi amaran kepada pemimpin politik supaya tidak menggunakan pendedahannya sebagai alat untuk memeras ugut atau tawar-menawar.
Tei juga mengingatkan bahawa baru bulan lepas Anwar telah menolak dakwaannya terhadap enam Adun itu dan nmenganggap ia sekadar khabar angin.
Sikap ditunjukkan Anwar itu, tambahnya, menunjukkan seolah-olah tujuh individu yang dikaitkan dengan skandal permohonan lesen cari gali mineral di Sabah itu memiliki kekebalan undang-undang.
“Hari ini Anwar terbukti silap. Beliau telah menghina dan meremehkan tuduhan saya sebagai khabar angin.
“Perbuatannya adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan satu pengkhianatan besar,” katanya lagi.

Tei sebelum ini menyangkal dakwaan Anwar di Dewan Rakyat bahawa hanya video diserahkan kepada SPRM, sebaliknya menegaskan bahawa dia menyerahkan dokumen melebihi 300 muka surat yang memperincikan jejak wang, rekod bank, dokumen, surat-menyurat bertulis dan lokasi tertentu.
Tei juga berkata, dia berasa “kelakar” apabila melihat Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor – yang Adunnya terlibat dalam apa yang disebut ahli perniagaan terbabit sebagai “skandal rasuah terbesar” negeri itu – duduk di sebelah Anwar apabila perdana menteri membangkitkan perkara tersebut.
Dia merujuk kepada ucapan dibuat Anwar di Sabah semalam apabila perdana menteri berikrar tidak akan memaafkan perbuatan rasuah.
Anwar juga menyatakan bahawa SPRM telah bertindak atas “berita baru” mengenai pemimpin Sabah yang menghadapi dakwaan berkenaan.
Walaupun beliau tidak menyebut nama, Anwar dilihat merujuk kepada Kitingan, yang baru-baru ini disoal SPRM berikutan dakwaan Tei bahawa beliau menerima RM1.78 juta.






