Komputer Riba Humain Horizon Pro Diperlihatkan Dengan Cip Snapdragon X dan AI Humain One
Effi Saharudin
Syarikat kecerdasan buatan (AI) Humain dari Arab Saudi melancarkan produk fizikal pertama mereka di Snapdragon Summit semalam. Ia adalah komputer riba AI Humain Horizon Pro yang akan menggunakan sistem AI sendiri Humain ONE.

Horizon Pro dilengkapi skrin 14″ 2.8K AMOLED, dipadankan dengan cip Snapdragon X Elite, memori sebesar 32GB RAM, storan sebesar 1TB SSD, kamera web FHD dan bateri sehingga 18 jam. Di Snapdragon Summit ia masih lagi menggunakan Windows 11 dengan Humain ONE akan dilancarkan di Riyadh pada 27 Oktober depan.
Sekilas pandang ia nampak seperti komputer riba Windows biasa cuma butang CoPilot digantikan dengan butang Humain. Selain sistem operasi sendiri, komputer riba ini juga dilengkapi Humain Chat yang merupakan chatbot Bahasa Arab yang paling berkuasa setakat ini, Humain Create yang boleh menjana teks, imej dan video serta Humain Search yang melakukan carian AI.

Menurut Humain, komputer riba ini boleh menjalankan pelbagai tugasan AI terus daripada peranti menerusi Humain One yang telahpun terbina tetapi juga boleh melakukan pemprosesan di awanan apabila disambungkan ke internet. Harga jualan Humain Horizon Pro belum lagi diumumkan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






