Malaysia Oversight

‘Bagaimana timbalan ketua menteri boleh mohon lesen lombong bagi syarikat swasta?’

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 3 minute
'Bagaimana timbalan ketua menteri boleh mohon lesen lombong bagi syarikat swasta?'


Warisan Calvin Chong mempersoalkan bagaimana Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan didakwa membuat permohonan untuk mendapatkan lesen melombong di hutan simpan Kelas 1 bagi pihak syarikat swasta.

Menyifatkan tindakan yang didakwa sebagai “melampau batas”, Chong menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Kitingan dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

“Bagaimana timbalan ketua menteri boleh memohon bagi pihak syarikat swasta? Adakah ini sekarang projek atau usaha peribadi? Jika swasta, mengapa menggunakan kuasa dan sumber pejabat timbalan ketua menteri?

“Jeffrey telah melampaui batas dengan menggunakan pejabat timbalan ketua menteri untuk memajukan kepentingan komersial syarikat swasta.

“Batas antara tugas awam dan kepentingan peribadi sedang dipadamkan, dan kami rakyat Sabah diperlakukan seperti orang bodoh!” kata ahli parlimen Elopura itu dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan satu lagi dokumen melibatkan Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Kali ini, dia mendakwa Kitingan memohon “permit pendudukan” selama 30 tahun untuk mendapatkan lesen kuari seluas 80 hektar dalam hutan simpan Pulau Banggi.

Tei mendakwa permohonan yang didakwa dibuat melalui surat bertarikh 6 Dis 2022, yang dikeluarkan oleh kementerian Kitingan dan ditandatangani sendiri olehnya, dialamatkan kepada Hajiji.

“Kawasan yang dipohon dalam hutan simpan Pulau Banggi diklasifikasikan sebagai hutan simpan Kelas 1, yang dilindungi sepenuhnya.

“Pemuliharaan dan perlindungan spesies dan habitatnya diutamakan, dengan tujuan untuk melindungi biodiversiti, hutan primer, dan ekosistemnya daripada sebarang gangguan atau aktiviti yang merosakkan,” tambahnya.

Menyifatkan perkara itu sebagai memalukan, Chong mengemukakan tiga soalan kepada Hajiji dan Kitingan dan menggesa mereka memberikan jawapan.

Dia meminta kedua-dua mereka menjelaskan mengapa hutan simpan itu dianggap sebagai tapak pakai buang untuk kuari dan mengapa Kitingan didakwa bertindak sebagai orang tengah untuk sebuah syarikat swasta.

Pemimpin Warisan itu juga bertanya mengapa Hajiji dilihat memberi legitimasi terhadap tindakan tersebut.

“Semua orang tahu bahawa hutan simpan Kelas 1 secara sah bertujuan untuk dipelihara daripada eksploitasi komersial yang merosakkan.

“Pemimpin kita menjual sumber negeri untuk kepentingan peribadi atau kepentingan politik dengan berselindung di sebalik pembangunan.

“Sabah adalah milik rakyatnya, bukan milik segelintir orang berkuasa yang menganggap mereka boleh menganggap hutan dan sumber kita sebagai taman permainan peribadi mereka,” tegasnya.

Chong juga mengejek Kitingan berhubung perkara itu kerana Kitingan sering merujuk dirinya sebagai “conservationist”, iaitu individu yang menyokong pemuluharaan.

“Tetapi apa sebenarnya yang dia pelihara? Hutan, atau kepentingannya sendiri?” soalnya.

Semalam, SPRM soal siasat Kitingan selama lima jam selepas ahli perniagaan Albert Tei mendakwa RM1.78 juta telah dibayar kepada timbalan ketua menteri berkaitan lesen carigali perlombongan yang dibatalkan.

Tei mendakwa jumlah itu adalah bayaran terbesar yang dibuat kepada mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan skandal itu, sambil menambah wang itu diserahkan semasa perjumpaan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada Oktober 2024.

Kitingan menafikan dakwaan itu, sambil menambah dia tidak “benar-benar ingat” mengadakan perbualan dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti yang digambarkan dalam klip video yang diterbitkan oleh Malaysiakini.

Kitingan berkata perbualan itu nampaknya mengenai derma politik “tahun lalu sebelum pilihan raya” dan mendakwa ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan yang membabitkan Sabah baru-baru ini.



Source link