PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah bersedia memacu pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) ke peringkat lebih tinggi bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, selaku badan induk bola sepak Malaysia, FAM sewajarnya mengambil alih sepenuhnya NFDP daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
“Walaupun berdepan beberapa kekangan dan cabaran termasuk soal dana, FAM sudah bersedia mengambil alih NFDP jika diminta berbuat demikian.
“Sebagai badan induk, FAM sudah cukup bersedia memainkan peranan lebih besar demi pembangunan akar umbi bola sepak negara,”katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa pembangunan bola sepak adalah tugas FAM dan bukannya kerajaan dan sistem itu telah diguna pakai di seluruh dunia.
“Sememangnya pembangunan bola sepak di bawah FAM. Kita tidak boleh ada dua entiti urus perkara sama, nanti jadi tak selari,” tegas Mohd Yusoff.
Semalam, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, NFDP wajar kekal dikendalikan MSN, sambil beliau menegaskan FAM tidak boleh mengharapkan dana kerajaan jika mahu mengambil alih program tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, beliau menerima setiap pandangan dan teguran daripada mana-mana pihak demi kebaikan arena bola sepak Malaysia.
“Segala kritikan itu boleh dijadikan panduan untuk kita tambah baik NFDP. Apa yang penting kita sama-sama mendapat input positif bagi meningkatkan mutu dan kualiti NFDP,” ujarnya. – UTUSAN






