Dalam ucapan penuh sindiran, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menghalakan serangan terhadap elit politik korup di Sabah, yang dilihat banyak pihak ditujukan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini terpalit dengan skandal perlombongan.
Anwar berkata dia tidak dapat memaafkan perbuatan mencuri wang rakyat.
“Saya ditangkap, saya dipukul, saya diseksa dalam penjara. Saya maafkan. Saya dihina, maruah saya dijatuhkan. Saya maafkan.
“Tapi kalau anda curi wang rakyat, kalau anda ambil berbilion milik rakyat – saya tidak boleh maafkan,” katanya ketika berucap di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, di hadapan kira-kira 200 orang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang juga antara individu disebut-sebut terlibat dalam skandal berkenaan.
Anwar turut menyebut bahawa SPRM telah bertindak atas “berita terbaru” mengenai dakwaan ke atas pemimpin Sabah.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dilihat merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri I, Jeffrey Kitingan, yang disoal siasat SPRM semalam berhubung dakwaan menerima RM1.78 juta berkaitan lesen perlombongan.
“Ada berita baru. Segera, SPRM bertindak – ya, kita akan siasat. Itulah cara kita,” kata Anwar sambil tersenyum sinis.

Semalam, Jeffrey disoal siasat selama lima jam selepas ahli perniagaan Albert Tei mendakwa sejumlah RM1.78 juta dibayar kepadanya berkaitan lesen penerokaan lombong yang telah dibatalkan.
Tei mendakwa jumlah itu adalah bayaran terbesar kepada mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan skandal tersebut, malah diserahkan dalam satu pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada Oktober 2024.
Jeffrey bagaimanapun menafikan tuduhan itu, dengan berkata dia tidak “benar-benar ingat” perbualan mengenai sejumlah wang seperti dipaparkan dalam satu klip video yang disiarkan Malaysiakini.
Dia menjelaskan perbualan itu mungkin berkisar tentang sumbangan politik “beberapa tahun sebelum pilihan raya” dan menegaskan ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan yang turut mengheret beberapa Adun Sabah kebelakangan ini.
‘Ucapan nasionalis tetapi…’
Dalam ceramahnya, Anwar turut menyindir ahli politik yang mengaut kekayaan ketika berkuasa.
“Berapa banyak yang kita sudah pulihkan? Berbilion ringgit. Wang yang dicuri daripada rakyat.
“Jadi menteri, hanya beberapa tahun, tiba-tiba ada simpanan satu bilion, dua bilion. Tugas kita ialah cari jalan untuk ambil balik,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengecam pemimpin yang menggunakan slogan nasionalisme untuk menaikkan imej, tetapi secara diam-diam memperkayakan keluarga dan kroni mereka.
“Ada pemimpin yang terlalu lama berkuasa, apa yang mereka buat? Mereka rompak.
“Mereka kayakan keluarga, kayakan kroni. Mereka jadi angkuh. Mereka bercakap tentang membela rakyat, tetapi hakikatnya?
“Kontrak dan projek diberikan kepada kelompok sendiri. Sedangkan rakyat biasa terus sengsara,” katanya sambil menambah bahawa kekayaan Sabah telah diseleweng untuk kepentingan peribadi.
“Balak, tanah, semuanya dicuri. Kekayaan Sabah dijarah dan dibahagikan hanya kepada segelintir. Sebab itu rakyat kekal miskin, sementara mereka yang berkuasa hidup mewah,” katanya lagi.

Menyentuh slogan “Sabah untuk orang Sabah”, Anwar menegaskan bahawa integriti diperlukan untuk melindungi hak negeri itu dan bukan sekadar retorik.
Hormat proses undang-undang
Dalam usaha membanteras rasuah, Anwar berikrar akan menghormati proses undang-undang, sambil memberi amaran terhadap bahaya autoritarianisme.
“Saya bukan penyiasat, saya bukan hakim. Kalau perdana menteri jadi penyiasat, jadi penghukum, jadi warden penjara… itu bukan perdana menteri, itu diktator. Kita mesti ikut peraturan,’ katanya.
Meskipun mengakui dirinya bukan anak kelahiran Sabah, Anwar berjanji negeri itu tidak akan diabaikan.
“Saya anak Pulau Pinang, bukan anak Sabah. Tapi saya bayangkan apa yang patut diperuntukkan untuk Sabah. Dalam sejarah Malaysia, inilah komitmen saya,” katanya.
Dia turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak cuba menggunakan isu perkauman dan agama untuk menutup perbuatan rasuah.
“Jangan main api kaum, jangan main api agama. Kalau ikut jalan itu, negara ini akan musnah.
“Saya pergi ke gereja, ke tokong, ke masjid – bukan kerana politik, tetapi kerana hormat. Kita mesti bersatu sebagai rakyat Malaysia, bukan berpecah kerana agama atau bangsa,” katanya.






