Malaysia Oversight

Kementerian Pertahanan ikrar tak ulas kematian kadet Palapes hingga siasatan selesai

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 2 minute
Kementerian Pertahanan ikrar tak ulas kematian kadet Palapes hingga siasatan selesai


Kementerian Pertahanan berjanji tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsuddin sehingga siasatan selesai.

Peguam Naran Singh memberitahu Malaysiakini bahawa ikrar itu dibuat melalui surat akujanji daripada kementerian itu, bertarikh 24 Sept, dan ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali.

Susulan itu, Naran mengesahkan bahawa ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, telah menarik balik permohonan sekatan terhadap Kementerian Pertahanan dan menterinya, Khaled Nordin, di mahkamah.

Pada 18 Sept, Ummu mendapat perintah sementara menghalang Khaled dan kementerian daripada mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan kematian Syamsul.

Ummu Haiman Bee Daulatgun

Naran memberitahu Malaysiakini bahawa perintah sementara itu berkuat kuasa dari hari itu hingga 26 Sept.

Tambahnya, sekiranya Kementerian Pertahanan memberikan surat itu dalam masa yang ditetapkan, maka peguam Ummu akan menarik balik permohonan perintah gag mereka.

Mengulas lanjut, Naran berkata dia menuntut penjelasan mengenai penglibatan pegawai perubatan dalam bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Syamsul pada 29 Julai lalu.

Jelas Naran, Ummu sebelum ini menyatakan hasratnya agar pakar forensik menjalankan bedah siasat.

Dia berkata, meski selepas menyatakan hasrat itu, doktor itu membuat perjalanan sejauh 40km ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk melakukan bedah siasat.

Naran Singh

“Siapa yang memberinya (pegawai perubatan) kebenaran untuk pergi ke Hospital Sultan Ismail untuk melakukan bedah siasat?” soal Naran.

Dia berkata dia telah menulis surat mengenai isu ini kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, pengarah Hospital Kota Tinggi, dan pakar forensik Hospital Sultan Ismail.

Bagi siasatan kematian Syamsul, Naran berkata dia sedang menunggu laporan bedah siasat kedua.

Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi di Johor pada 28 Julai lalu. Dia telah menjalani latihan Palapes sebelum kematiannya.

Ummu mengesyaki perbuatan khianat selepas melihat lebam dan mata berlumuran darah pada mayat Syamsul sebelum dikebumikan, yang menyebabkan dia membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor Abdul Latiff Mehat berkata pada 1 Ogos lalu bahawa polis sedang menyiasat kematian Syamsul.

Keesokan harinya, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman berkata tiada unsur jenayah ditemui dalam kes itu.

Bagaimanapun, pada 2 Ogos, Khaled mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Pertahanan telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kematian Syamsul.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin

Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos, meminta mayat Syamsul digali dan bedah siasat kedua serta inkues kematiannya dijalankan.

Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu pada 26 Ogos untuk mayat Syamsul digali dan bedah siasat kedua diadakan.

Mayatnya kemudian digali pada 29 Ogos, dengan bedah siasat dijalankan keesokan harinya.

Pada 30 Ogos, Naran berkata bedah siasat kedua menemui kecederaan traumatik yang mencurigakan yang memerlukan siasatan lanjut.

Dia juga berkata rakaman audio dan transkrip saksi berpotensi yang hadir di tempat kejadian kematian Syamsul, serta gambar yang diambil oleh Ummu sebelum bedah siasat pertama, telah diserahkan kepada pihak berkuasa.



Source link