Dengan seorang lagi veteran politik Sabah terpalit didakwa terpalit skandal lesen perlombongan, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Putrajaya mengutamakan penggubalan Akta Pembiayaan Politik bagi membanteras politik wang.
“Bagi memastikan undang-undang dan kerangka kerja ini dibangunkan secara menyeluruh, C4 Center menggesa kerajaan melibatkan penyertaan awam yang bermakna dalam proses pembangunan tersebut,” kata NGO itu pada kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan rakaman perbualannya dengan Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan, yang didakwa menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan di Sabah.
Tei turut mendakwa jumlah yang diberikan kepada Ahli Parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta – lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam klip berkenaan.
Kitingan menafikan dakwaan tersebut sambil berkata dia tidak “betul-betul ingat” pernah berbual dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti digambarkan dalam video itu.
Kitingan menjelaskan perbualan itu kelihatan berkaitan sumbangan politik “bertahun-tahun lalu sebelum pilihan raya” dan menegaskan ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan yang membabitkan beberapa orang Adun Sabah.
Dokumen lebih membebankan
Tidak berhenti di situ, Tei kemudian mendedahkan beberapa dokumen yang mengaitkan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu – antaranya surat sokongan untuk permohonan lesen perlombongan pasir di Pulau Balambangan yang dikaitkan dengan syarikatnya, serta satu permohonan “permit pendudukan” selama 30 tahun bagi mendapatkan lesen kuari seluas 80 hektar di hutan simpan Pulau Banggi.
Apabila diminta mengulas perkara itu, Kitingan berkata: “Saya akan jawab semua ini dalam sehari dua selepas lawatan politik PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).”
Bahaya politik wang
Mengulas lebih lanjut, C4 Center menegaskan pengaruh negatif politik wang di Malaysia telah menghasilkan sejarah tadbir urus yang lebih mengutamakan keuntungan peribadi berbanding kepentingan awam.
NGO itu berkata rakyat Malaysia juga semakin penat dengan siri skandal rasuah yang membabitkan pemimpin politik, dan menyeru tindakan bersepadu untuk menangani masalah tersebut.
Penggubalan Akta Pembiayaan Politik, kata C4 Center, akan menjadi langkah pertama dalam membangunkan budaya politik yang lebih telus dan bertanggungjawab.
“Akta itu mesti mengenakan syarat pelaporan kewangan yang ketat dan mengikat terhadap parti politik serta tokoh-tokoh tertentu, dengan penalti sewajarnya bagi ketidakpatuhan.
“Mana-mana badan yang diberi mandat untuk memantau aktiviti pembiayaan politik mestilah cukup terlindung daripada campur tangan eksekutif, supaya dapat melaksanakan mandatnya dengan baik,” jelas kenyataan itu.
Larangan terhadap dana korporat kepada parti politik dan personaliti kata NGO itu lagi bertujuan menghalang pengaruh tidak wajar daripada pelobi korporat.
“Paling penting, pembiayaan awam kepada parti politik dan aktivitinya mesti menjadi elemen asas dalam kerangka baharu ini – satu cadangan yang telah disokong oleh organisasi masyarakat sivil dan ahli akademik, serta terbukti berjaya di negara-negara lain.”
[Baca berita asal]






