Malaysia Oversight

Tak logik Lembaga Pengarah SRC berdiam kerana takut dipecat

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 3 minute
Tak logik Lembaga Pengarah SRC berdiam kerana takut dipecat


Adalah tidak logik bagi Lembaga Pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd berdiam diri mengenai hal ehwal kewangan syarikat itu hanya kerana takut dipecat, kata peguam bela , Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Menurutnya, rasa takut tidak boleh dijadikan alasan sehingga menghalang BOD daripada menyiasat lanjut berhubung pinjaman dan pelaburannya, sebaliknya hanya bergantung pada maklumat daripada Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC yang masih bebas.

“Jika hujah bahawa Lembaga Pengarah hanya mengikut arahan diterima mahkamah, apakah mesej yang akan dihantar kepada tadbir urus korporat?

“Adakah pengarah-pengarah syarikat berkaitan (GLC) dibenarkan untuk hanya berpeluk tubuh, meskipun sedar adanya isu dan kewajipan terhadap syarikat, serta hanya mengikut arahan secara membuta tuli?

“Itu bukan tadbir urus yang baik. Mahkamah perlu menetapkan garis panduan dalam kes ini, bagi memastikan alasan sebegini tidak boleh diterima dalam konteks tadbir urus korporat di Malaysia,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Fairoz Zainal Abidin hari ini.

f37108a38c35e0599fbe4868f8db6b29

Farhan berhujah bahawa Najib tidak pernah menggunakan kuasa mutlak kerana sentiasa memberi ruang kepada pengarah untuk membuat keputusan bebas dan berkelayakan dalam apa jua perkara. Katanya lagi, isu kewangan syarikat termasuk pinjaman dan pelaburan kekal dalam bidang kuasa Lembaga Pengarah.

Dia menambah, sekiranya mahkamah mendapati Najib bertanggungjawab dalam saman bernilai AS$1.18 bilion yang difailkan terhadap bekas perdana menteri itu dan Nik Faisal, maka BOD juga perlu dipertanggungjawabkan.

Farhan menjawab hujahan peguam Chong Yik Loong yang mewakili salah seorang BOD, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman berkenaan.

Terdahulu, Chong berhujah bahawa pihak ketiga hanyalah pengarah bukan eksekutif yang tidak wajib terlibat secara langsung dalam urusan syarikat, mahupun melangkaui peranan mereka dengan mengesahkan atau menyiasat apa yang dimaklumkan oleh pengurusan.

“Urusan perniagaan syarikat tidak akan berjalan jika pengarah tidak boleh mempercayai pengurusan untuk melaksanakan tugasnya. Jika Lembaga Pengarah tidak mengetahui wujudnya penipuan, bagaimana mereka boleh dipersalahkan?

“Kami akui memang ada kelalaian oleh lembaga, tetapi peranan dan tanggungjawab pengarah tidak semestinya sama. Bukan semua pengarah bertanggungjawab secara langsung terhadap urusan kewangan syarikat,” katanya.

Mahkamah tangguh keputusan

Ahmad Fairoz menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan semua pihak.

“Terima kasih atas hujahan, saya perlukan masa (untuk meneliti perkara ini) kerana saya ada beban tugasan sekarang,” katanya.

a2d93f531b4534228aedcf72529b7e28

Ini bermakna mahkamah akan memaklumkan tarikh keputusan kepada semua pihak dalam masa terdekat.

SRC memfailkan saman itu pada 2021 untuk mendapatkan deklarasi bahawa Najib dan Nik Faisal bertanggungjawab ke atas pelanggaran amanah dan tugas fidusiari.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Najib menamakan beberapa bekas ahli lembaga pengarah sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut, termasuk Shahrol, Ismee Ismail, Suboh Md Yassin, Azhar Osman Khairuddin dan Rashidi Che Omar.

Saman itu berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang disalurkan kepada SRC pada 2011 dan 2012.

SRC menuntut defendan membayar ganti rugi termasuk memulangkan AS$1.18 bilion yang didakwa sebagai kerugian dana pelaburan, atau sebagai alternatif, kerugian faedah penggunaan dana tersebut yang akan ditaksir oleh mahkamah.

Selain itu, mereka turut menuntut ganti rugi atas pelanggaran fidusiari statutori dan common law, pelanggaran amanah, konspirasi, serta ganti rugi am, teladan dan tambahan, termasuk lima peratus faedah tahunan.

Syarikat itu juga menuntut Najib membayar AS$120 juta kerana didakwa menerima wang haram melalui pelbagai perantara, selain ganti rugi atas salah laku (misfeasance) dan penyalahgunaan kuasa.

Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.



Source link