Timbalan pendakwa raya (DPP) yang ditahan minggu lalu kerana disyaki memiliki dadah dibebaskan dengan jaminan polis dan kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.
Menurutnya, pihak polis kini menunggu laporan kimia bagi mengenal pasti jenis dadah yang ditemui di rumah suspek ketika ditahan.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, turut mengesahkan bahawa DPP berusia 34 tahun itu kembali bertugas di jabatan berkenaan.
“Ya, dia telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dipindahkan semula ke AGC berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam jawapan ringkas kepada Malaysiakini.
Pada 24 Sept lalu, SPRM mengesahkan penahanan DPP berkenaan yang baru melapor diri ke agensi itu pada 19 Sept. Pemeriksaan di kediaman lelaki itu di Putrajaya menemui bahan terlarang disyaki dadah.

SPRM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran undang-undang atau tindakan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangannya.
Pada hari sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata suspek direman sehingga 25 Sept.
Akhbar New Straits Times pula melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pegawai tersebut adalah pegawai “pinjaman” daripada AGC sebagai pendakwa sokongan, dan suspek telah melepasi tapisan, termasuk ujian dadah, sebelum dipindahkan ke SPRM.
Katanya, SPRM bagaimanapun tidak menjalankan sebarang tapisan kerana ia bukan dalam bidang kuasa mereka.






