Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan hari ini menyerahkan memorandum ketiga kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, menuntut penjelasan dan tindakan segera berhubung isu pampasan serta perumahan yang berlarutan sejak bertahun-tahun.
Setiausaha gabungan itu, Ameer Khan Bargathalli berkata memorandum itu mendesak pihak berkuasa menilai semula proses pemberian rumah dan pampasan kepada penduduk asal projek pembangunan yang bermula sejak 2013.
Menurutnya, banyak janji tidak ditunaikan, pampasan rendah ditawarkan, malah timbul kebimbangan bahawa penerima pampasan bukan daripada kalangan penduduk asal.
“Ini sudah kali ketiga memorandum diserahkan. Masih tiada tindakan konkrit daripada pihak DBKL.

“Kami hanya mahu keadilan bagi penduduk yang telah menetap di sini lebih 70 tahun,” katanya kepada Malaysiakini selepas penyerahan memorandum itu di ibu pejabat DBKL.
Empat isu utama dibangkit
Dalam memorandum berkenaan, empat isu utama diketengahkan.
Ameer Khan menjelaskan seramai 67 pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) tidak menerima tawaran rumah percuma mahupun rumah gantian walaupun telah mendiami kawasan itu sejak tujuh dekad.

“Isu itu turut melibatkan 43 pemilik kedai yang memegang TOL sejak tahun 1970-an. Mereka dikatakan tidak menerima pampasan atau unit gantian, bertentangan dengan janji yang dibuat oleh pegawai kementerian sebelum ini.
“Kami dimaklumkan oleh setiausaha menteri ketika itu, Puan Nurin, bahawa pemilik kedai akan dipertimbangkan untuk rumah gantian. Namun, tiada sebarang perkembangan sejak itu,” katanya.
Selain itu, dia turut mempersoalkan kelewatan pembinaan rumah keluarga kedua serta ketiadaan senarai penerima yang layak.
Malah, dakwanya unsur penyelewengan pernah berlaku dalam kes rumah keluarga pertama apabila banyak unit rumah diberi kepada pihak luar dan bukan kepada pemilik asal.

“Banyak unit rumah sebelum ini diberikan kepada pihak luar, bukan kepada pemilik asal. Kami khuatir perkara sama sedang berulang,” katanya.
Ameer Khan turut melahirkan kekecewaan apabila proses semakan semula bancian untuk menyiasat dakwaan ‘kecurian hak rumah’ ditutup tanpa sebarang tindakan.
“DBKL tak nak layan aduan yang kita buat,” katanya.
“DBKL suruh kita buat bancian semula dan saya dah buat satu persatu dan dapati terdapat orang luar yang curi pampasan. Tapi DBKL tak nak layan aduan yang kita buat,” tambahnya.
Desak DBKL beri penjelasan rasmi
Sehubungan itu, gabungan tersebut mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan rasmi serta mengambil tindakan segera demi memastikan keadilan untuk penduduk Jinjang Selatan Tambahan.
“Kami tidak mahu isu ini terus didiamkan. Penduduk berhak tahu status mereka dan berhak mendapat layanan yang adil serta telus daripada DBKL dan pihak berwajib,” katanya.
Setakat ini, DBKL belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

Dalam pada itu, Ameer Khan turut menempelak Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh, yang didakwa mempertikaikan pelaksanaan perintah mahkamah berkaitan projek di Jinjang Selatan Tambahan.
“Saya cabar Dr Akmal ni untuk berdebat dengan saya. Jangan hanya jadi jaguh kampung.
“Saya nak tengok dia anak jantan ke tak sebenarnya. Sebab orang cakap dia hebat.
“Kalau hebat datanglah sini. Dia akan kena buku dengan ruas nanti,” katanya.

Namun, katanya, tujuan debat itu bukan untuk menentukan menang atau kalah tetapi untuk menjelaskan realiti nasib rakyat dan mendidik generasi muda tentang hak perumahan.
Tambahnya, dia bersedia berdebat di mana-mana lokasi, sama ada di Jinjang, di PWTC atau tempat lain, tanpa mengira masa.
Latar isu perobohan
Akmal sebelum ini dilaporkan mempersoalkan tindakan dua darjat pihak berkuasa dalam menangani isu perobohan rumah di Kampung Sungai Baru dan Jinjang Selatan Tambahan.

Dia berhujah tindakan tidak konsisten itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan apabila penduduk Kampung Sungai Baru yang memiliki tanah berdepan perobohan, sedangkan rumah di Jinjang Selatan Tambahan yang didirikan di atas tanah kerajaan masih kekal.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk, peniaga dan pengusaha kilang di kawasan berkenaan yang diarahkan mahkamah berpindah menarik nafas lega selepas dimaklumkan tiada tindakan perobohan akan dijalankan buat masa ini.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Sebelum itu juga, seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendakwa DBKL mengeluarkan notis pengusiran paksa.
Ameer Khan sebelum ini turut menzahirkan kekecewaan kerana hanya ditawarkan pampasan sekitar RM5,000.






