Malaysia Oversight

Wakil rakyat sekarang gagal dekati orang muda

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 2 minute
Wakil rakyat sekarang gagal dekati orang muda


Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menyatakan kesediaan mereka mengambil alih peranan wakil rakyat sedia ada yang dilihat kurang berjaya dalam mendekati golongan belia.

Presidennya, Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata Mubarak melihat terdapat jurang agak luas di antara anak muda dengan pemimpin hingga menyaksikan ramai antara mereka tidak berminat untuk mengundi.

Menjelaskan hal itu, Abdul Aziz berkata, Mubarak mengadakan pemukiman melibatkan bekas wakil rakyat dari seluruh negara untuk melihat kepada kelompongan ini.

Katanya, mereka melihat ada jurang yang memerlukan tindakan segera.

“Jadi, Mubarak merasakan bahawa kami ada tanggungjawab untuk mencari jalan bagi merentasi jurang yang wujud.

“Kita ada pengalaman yang boleh digunakan dan semua dapatan daripada retreat ini akan dikongsikan dengan wakil rakyat dan juga pemimpin setempat,” katanya kepada media selepas merasmikan program berkenaan di Kuantan, Pahang, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Mubarak, Osman Aroff.

Seramai 27 bekas wakil rakyat termasuk dari Sabah dan Sarawak menyertai pemukiman selama tiga hari yang bermula semalam itu.

867cf2fcbc133a1352a2b49fd31907fa
MOU di antara Mubarak dengan TIC

Sementara itu Mubarak turut memaklumkan mereka menjalin kerjasama dengan Taj International College (TIC) bagi memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga B40 serta golongan rentan melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Abdul Aziz memberitahu, satu memorandum persefahaman (MOU) di antara Mubarak dan TIC juga ditandatangani pada sesi pemukiman berkenaan.

“Untuk MOU itu kami berterima kepada Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin, kerana dia memberikan kuota 100 tempat untuk pelajar dari kategori B40 dan golongan rentan kepada Mubarak.

“Tugas ahli Mubarak sekarang ialah untuk mencari 100 pelajar bagi mengisi kuota itu dan mereka akan diberikan peluang menyambung pelajaran dalam bidang TVET serta dibimbing untuk menjadi usahawan oleh pihak TIC.

“Saya lihat kolaborasi ini boleh membantu anak-anak muda mendapat bukan sahaja pendidikan dalam bidang kemahiran tapi meningkatkan ekonomi mereka dan keluarga,” jelasnya.



Source link