Timbalan Ketua Menteri I Sabah Jeffrey Kitingan mengesahkan dia hadir di pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan menerima RM1.78 juta yang dikaitkan dengan skandal perlombongan negeri itu.
“… Saya berada di pejabat mereka sekarang,” kata presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Kenyataan sebelum ini menunjukkan Kitingan dipanggil untuk disoal siasat tengah hari tadi. Bagaimanapun, dia dipercayai telah dipanggil oleh SPRM sekitar jam 5.30 petang.
Kitingan tiba di pejabat SPRM bersama setiausaha politiknya Anuar Ghani, yang menunggu di luar bangunan.
Semalam, ahli perniagaan Albert Tei mengeluarkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan Sabah.
Tei juga berkata jumlah wang yang dikatakan diberikan kepada Ahli Parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta – lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam klip video itu.
Pertemuan itu didakwa berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, dan berkisar mengenai pembatalan lesen cari gali mineral.
Awal hari ini, Kitingan menafikan tuduhan itu, sambil menambah dia tidak “benar-benar ingat” mengadakan perbualan dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti yang digambarkan dalam video itu.
Kitingan berkata perbualan itu nampaknya mengenai derma politik “tahun lalu sebelum pilihan raya” dan mendakwa ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan yang membabitkan Adun Sabah.
Susulan penafian itu, Tei mengemukakan surat sokongan yang didakwa daripada Kitingan untuk permohonan lesen melombong pasir di Pulau Balambangan.
Dalam surat yang bertarikh 25 April 2022, yang ditujukan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Kitingan didakwa telah menyatakan sokongan kepada permohonan lesen melombong pasir di Pulau Balambangan di Sabah, yang merupakan usaha sama dengan Yayasan Sabah.






