Selain daripada ASUS ExpertBook PM3, ASUS Malaysia juga telah membawa masuk pilihan komputer desktop produktiviti baru yang dijangka akan membantu pelbagai sektor untuk bukan sahaja mendapatkan komputer desktop untuk para pekerja pada harga mampu milik, tetapi juga dengan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk kegunaan harian.

Komputer desktop ini, yang dinamakan ASUS ExpertCenter P500 SV hadir dengan saiz padat, tetapi merumahkan komponen komputer yang cukup berkuasa untuk kegunaan produktiviti pejabat harian. Ia hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core 7 240H dan Intel Core 5 210H dengan memori DDR5 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 512GB.
Pengguna boleh membuka rangka komputer desktop ini dari sisi tanpa memerlukan sebarang alat seperti pemutar skru, dan menaiktarafkan komponen memori dan storan sebagaimana yang diperlukan dengan cepat dan mudah.

Sama seperti komputer riba ASUS ExpertBook PM3, komputer ExpertCenter P500 SV ini juga hadir dengan perisian ASUS ExpertMeet AI yang memudahkan pengalaman sesi telesidang anda melalui pembatalan bunyi hingar pada mikrofon dan pembesar suara, terjemahan suara dan sarikata secara nyata, perletakan tera air automatik dan juga rumusan sesi telesidang dengan menukar audio rakaman ke teks.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer desktop ASUS ExpertCenter P500 SV ini juga sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga berikut:
- ASUS ExpertCenter P500 SV (Intel Core 7 240H, 16GB, 512GB) – RM4099
- ASUS ExpertCenter P500 SV (Intel Core 5 210H, 16GB, 512GB) – RM3599






