Malaysia Oversight

Penganggur didakwa simpan beruk tanpa lesen

By MkiniBM in September 25, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyimpan seekor beruk spesies Macaca nemestrina tanpa lesen di rumahnya, Julai lepas.

Mukarab Khan Guldad, 51, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa menyimpan haiwan itu, yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010, tanpa lesen di rumahnya di PPR Kampung Batu Muda, Batu 5, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur pada 3.30 petang 2 Julai lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan OKS boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Zulkifli Awang memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan ikat jamin kerana beliau akan memfailkan representasi.

Perkara itu tidak dibantah oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Suhainariddah Abd Rashid dan mahkamah yang membenarkan permohonan tersebut, menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.

– Bernama



Source link