Lembaga Disiplin Bersatu hari ini terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan berhubung isu akuan bersumpah (SD) bagi mendesak Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
Menurut sumber Bersatu, keputusan itu diambil bagi mengelak “orang luar” membuat penghakiman sendiri lebih awal sebelum keputusan Lembaga Disiplin mendengar hujah Wan Saiful.
“Perkara ini (penangguhan) susulan penularan isu berkaitan sidang Lembaga Disiplin di media sosial.
“Bagi memelihara kerahsiaan dan maruah parti, serta mengelakkan sebarang pre-judgement daripada pihak luar, perkara ini turut diambil kira sebagai sebahagian daripada pertimbangan penangguhan,” katanya.
Tinjauan Malaysiakini di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini mendapati tiada kelibat Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu serta panel Lembaga Disiplin.
Dakwa diputar belit
Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Wan Saiful hari ini mengesahkan terdapat usaha untuk mengumpul akuan bersumpah (SD) daripada ketua-ketua bahagian parti yang dikatakan mahu mendesak perubahan kepimpinan menjelang mesyuarat agung tahunan Bersatu pada 9 Sept lalu.

Bagaimanapun, dia mendakwa naratif itu diputar belit oleh pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar di sebaliknya.
“Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar, tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutarbelitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai.
“Biar saya berjumpa Lembaga Disiplin parti dan jelaskan kepada mereka terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut,” katanya.
“Mengumpul SD (itu) betul. Yang itu saya rasa biar saya pergi Lembaga Disiplin dulu. Lepas itu baru saya boleh komen lanjut. Biar Lembaga Disiplin dulu dengar penjelasan,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan pengesahan berhubung penangguhan prosiding Lembaga Disiplin hari ini mengesahkan perkara itu.l
“Saya dimaklumkan begitu. Tapi tadi saya dah telefon setiausaha Lembaga Disiplin minta dia maklumkan jika tarikh baru telah ditetapkan.
“Saya memang nak hadir sebab saya nak tanya orang yang buat tuduhan mana dia dapat cerita cerita yang dia jadikan tuduhan,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
“Yang menuduh saya ialah Tun Faisal, ketua penerangan parti,” katanya lagi.






