Umno Sabah menggesa SPRM mengambil tindakan terhadap Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan yang didakwa mengaku menerima sumbangan politik tanpa sebarang deklarasi rasmi.
Ketua Sekretariat War Room Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain berkata perkara itu merupakan satu pendedahan serius yang mencalar prinsip ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan Sabah.
“Lebih mengejutkan, pengakuan ini datang daripada seorang pemimpin yang selama ini mendakwa memperjuangkan kedaulatan rakyat Sabah menerusi slogan “Sabah for Sabahan”.
“Slogan tersebut kini semakin kehilangan makna apabila beberapa pemimpin yang turut melaungkan ungkapan “Rumah Kita, Kita Jaga” juga terpalit dengan dakwaan berkaitan urus niaga dan kepentingan ekonomi negeri yang meragukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu menafikan tuduhan ahli perniagaan Albert Tei bahawa dia menerima rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral di negeri itu.

Dia menegaskan bahawa “benar-benar tidak ingat” pernah berbual dengan Tei mengenai sejumlah wang seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang disiarkan Malaysiakini semalam.
Kitingan bagaimanapun berkata, perbualan itu kelihatan mengenai sumbangan politik “bertahun-tahun lalu sebelum pilihan raya” dan menegaskan ia tidak ada kena-mengena dengan skandal perlombongan yang mengaitkan beberapa Adun Sabah baru-baru ini.
Rakaman video
Ahli politik veteran itu turut menegaskan pimpinan Star tidak pernah memohon lesen perlombongan, sama ada secara peribadi atau atas nama parti.
“Saya seorang conservationist (pencinta alam sekitar),” tegas Kitingan.

Semalam, Tei mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima jumlah bayaran terbesar dalam skandal perlombongan Sabah.
Tei juga memberitahu Malaysiakini bahawa jumlah yang didakwa diberikan kepada ahli parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta — lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam rakaman tersebut.
Abdul Aziz berkata, tindakan menerima dana tanpa pengisytiharan terbuka menimbulkan keraguan tentang kemungkinan berlakunya pelanggaran undang‑undang, khususnya di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Jelasnya, peruntukan ini memperjelaskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana penjawat awam untuk meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau balasan terhadap sebarang tindakan rasmi.
“Tanpa dokumentasi sah dan proses pengisytiharan yang telus, penerimaan dana sebegini boleh dianggap sebagai satu bentuk sogokan berkepentingan yang menuntut siasatan segera.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar. Justeru itu, SPRM digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung sumber dana, identiti pemberi, serta sebarang kaitan dengan kelulusan atau keputusan kerajaan negeri.
“Sekiranya terbukti wujud unsur pertukaran kepentingan, maka tindakan undang-undang mesti diambil tanpa kompromi, tanpa mengira kedudukan sama ada menteri, wakil rakyat atau sesiapa sahaja dalam kerajaan,” katanya lagi.






