Menteri Luar Mohamad Hasan akan menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (Unga 2025) di New York bermula hari ini hingga Ahad.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan semalam memaklumkan Mohamad dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum pada Ahad, pukul lima pagi (waktu Malaysia).
“Selain menyertai beberapa mesyuarat peringkat tertinggi, Mohamad juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dan Setiausaha Agung PBB,” menurut kenyataan itu.
Penyertaan Malaysia dalam Unga 2025 menzahirkan komitmen teguh kerajaan terhadap multilateralisme dan usaha memperkukuh kerjasama global.
“Khususnya dalam memajukan keamanan dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, ekonomi hijau, teknologi baharu serta pembangunan mampan,” menurut Wisma Putra.
Unga 2025 bertemakan Better together: 80 Years and More for Peace, Development and Human Rights.
-Bernama






