Ini Bukan Pad Pengecas Nirwayar Tetapi PC Ultra Nipis Snapdragon X2 Elite
Effi Saharudin
Dengan pelancaran cip Snapdragon X2 Elite dan Snapdragon X2 Elite Extreme sebentar tadi, Qualcomm telah memperlihatkan beberapa konsep PC yang menggunakannya. Selain komputer riba dan komputer tablet, dua prototaip di ruangan demo menarik perhatian kami kerana ia bukan sahaja bersaiz kecil tetapi juga nipis.

Satu prototaip adalah berbentuk bulat dengan ia setebal piring untuk kek atau menghidangkan lauk di restoran. Logo Snapdragon di atas berlampu dengan ia sebenarnya adalah butang kuasa untuk menghidupkan PC ini. Di bahagian sisi diletakkan talan SIM, beberapa port USB-C, port kuasa DC, bicu audio 3.5mm dan ruang pengudaraan pula diletakkan di sekeliling bahagian bawah. Berdasarkan pengamatan, prototaip PC berbentuk piring ini adalah setebal telefon pintar.

Prototaip kedua adalah berbentuk empat segi sama dengan ia sedikit lebih tebal berbanding prototaip pertama. Model ini dimasukkan ke dalam dermaga di bawah sebuah monitor menjadikannya sebuah PC AIO. Di bahagian sisi diletakkan talam SIM, beberapa port USB-C, port kuasa, bicu audio 3.5mm dan ruang pengudaraan untuk sistem penyejukan


Semua PC yang kompak yang diperlihatkan di Snapdragon Summit ialah sekadar saranan kepada pengeluar. Tahun lalu Snapdragon Dev Kit diumumkan selepas Snapdragon X Elite dilancarkan tetapi komputer desktop dengan rekaan yang sama tidak dilancarkan. Mungkin di tahun kedua kita akan akhirnya dapat melihat PC desktop dengan cip Snapdragon dipasarkan secara meluas.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






