Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 Dilancarkan – Dilengkapi CPU Oryon Gen 3 dan Sokongan Unreal Engine 5
Effi Saharudin
Cip mercu Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 dilancarkan pagi ini dengan ia sekali lagi menawarkan peningkatan kemampuan cip pemproses peranti mudah alih Android. Cip mengekalkan penggunaan teknologi 3nm dan 8 teras CPU Oryon Generasi ketiga.

Snapdragon 8 Elite Gen 5 menggunakan konfigurasi teras 2X teras CPU Prime Oryon pada kelajuan 4.6 GHz dan 6X teras CPU Performance Oryon pada kelajuan 3.62GHz. Ini dipadankan pula dengan GPU terkini Adreno baharu dengan High Performance Memory (HPM) yang membawakan sokongan Tile Memory Heap, Mesh Shading dan sokongan penuh Unreal Engine 5. Kelajuan dua kluster CPU meningkat daripada 4.32 GHz dan 3.53 GHz tahun lalu.
Yang menjadi persoalan ialah adakah tahun ini akhirnya permainan tahap konsol dan PC akan tiba ke Android? Ini dijanjikan oleh Qualcomm tahun lalu tetapi ia tidak kunjung tiba sementara usaha Apple pula kurang mendapat sambutan golongan gamer kerana kualiti grafik jelas lebih rendah.

Dengan teras Prime beroperasi pada kelajuan 4.6 GHz, 8 Elite Gen 5 ialah cip peranti mudah alih dengan kelajuan CPU tertinggi setakat ini. Dengan ini ia menawarkan peningkatan prestasi 1 teras CPU sehingga 20% dan multi teras pula sehingga 17%. Sementara itu GPU pula menawarkan peningkatan sehingga 23%.

Hexagon NPU generasi baharu yang digunakan pula adalah 37% lebih pantas berbanding tahun lalu dengan ia boleh menjalankan model bahasa raya (LLM) yang bersaiz lebih besar terus daripada peranti tetapi pada waktu yang sama dengan pengurangan penggunaan kuasa bateri. Dengan kita kini di dalam era AI, tahun ini Qualcomm memberikan lebih banyak tumpuan kepada peningkatan prestasinya.

Kamera sehingga 320MP disokong denagn pilihan dua kamera 108MP atau tri-kamera 48MP. Spesifikasi lain ialah penggunaan model Snapdragon X85 5G, sokongan skrin QHD+ 240Hz, memori sehingga 24GB RAM LPDDR5X, storan UFS 4.1, USB Version 3.1 Gen 2, audio XPAN dan pengecasan Qualcomm Quick Charge 5.

Pengeluar terawal yang akan menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 ialah siri Xiaomi 17 dengan seperti biasa ia akan turut digunakan pengeluar lain seperti Samsung dengan model akan mula dilancarkan dalam bulan-bulan mendatang.


Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






