
Keluar Sekejap baru-baru ini telah menerima pemegang saham baharu, dan terkini, pasukan Keluar Sekejap turut hadir dengan sebuah lagi podsiar baharu, dinamakan Sejarah Kita. Penambahan podisar baharu ini adalah tambahan kepada jenama podsiar Keluar Sekejap dan Kindred Stories sebelum ini, dan dilihat pertama kali menggunakan inisial “SK” berbanding dengan penggunaan “KS” sebelum ini.
Untuk episod rintis pertama yang diterbitkan hari ini, Sejarah Kita menampilkan dua pengacara, iaitu Khairy Jamaluddin dan juga Eddin Khoo. Melalui podsiar ini, ia membolehkan sesuatu topik sejarah dibincangkan dengan lebih lanjut dan tidak dihadkan masanya. Sejarah Kita turut ingin melihat kembali kepada pelbagai detik sejarah, sekaligus memberikan analisa yang sedikit berbeza daripada analisa arus perdana atau buku teks.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapa kerapkah podsiar Sejarah Kita ini akan diterbitkan pasukan Keluar Sekejap. Khairy Jamaluddin mengatakan mereka akan melihat kepada pelbagai kronologi sejarah Malaysia dalam episod-episod akan datang yang bakal diterbitkan.
Sebelum ini, mengikut data, ia dikongsikan yang mana 40% pengguna Malaysia mengikuti podsiar, sekaligus telah menjadi salah satu bentuk bagaimana pengguna mendapatkan maklumat dan informasi pada era kini. Bentuk perbualan bersahaja membuatkan pengguna lebih tertarik, dan penerbitan pelbagai topik memudahkan pengguna melakukan pemilihan apa yang ingin diikuti berbanding mendengar melalui radio dan lain-lain sebelum ini.






