Malaysia Oversight

KPDN Perak serbu dua pusat hiburan langgar hak cipta

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
KPDN Perak serbu dua pusat hiburan langgar hak cipta


IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu dua pusat hiburan di bandar raya ini semalam selepas disyaki melakukan pelanggaran hak cipta karya berdaftar yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dijalankan hasil maklumat dan aduan wakil pemilik hak cipta berhubung kegiatan premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui set karaoke mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu yang digunakan untuk tujuan perniagaan.

“Wakil pemilik hak cipta turut membuat pengesahan awal terhadap set karaoke tersebut dan disyaki kedua-dua premis terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua set karaoke, monitor dan dokumen berkaitan telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM31,870.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya pula, pesalah boleh didenda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalludin mengingatkan semua pengusaha pusat hiburan dan pihak berkepentingan agar mendapatkan kelulusan sah daripada pemilik hak cipta sebelum menggunakan karya berkenaan bagi aktiviti perniagaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pelanggaran hak cipta boleh menyalurkan aduan melalui aplikasi WhatsApp ke 019-8488000, portal [email protected], Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN. – UTUSAN





Source link