Ahli perniagaan, Albert Tei, mendakwa dia menerima mesej WhatsApp daripada isteri Jeffrey Kittingan, Cecilia Edwin, sejurus selepas video yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri I Sabah dan Ahli Parlimen Keningau itu dikaitkan dengan dakwaan terbaru skandal perlombongan di negeri berkenaan.
Kata Tei, dia menerima mesej teks itu pada petang ini tetapi tidak memberikan sebarang balasan.
“Nampak seperti dia bertanya tentang video lain pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya kepada Malaysiakini.
Tei turut menunjukkan tangkap layar bagi mesej yang didakwa itu yang berbunyi: “Where is the rest, y bos only” (Mana yang lain, mengapa bos saja?)
Mengiringi pertanyaan tersebut ialah pautan ke laman Facebook milik Naib Presiden Warisan, Junz Wong, yang menyiarkan video Kitingan.
Ketika dihubungi, Cecilia enggan memberi komen dakwaan terhadap Kitingan.
“No comment. Saya tak ada kaitan dengan apa-apa!!!” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas Malaysiakini berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp tersebut, dia menjawab: “Ow, saya mengulas video mengapa bos saja, bagaimana dengan yang lain.. Saya tidak berkata sebaliknya. Aduii. Saya kata mana yang lain kenapa bos saya sahaja.”
Awal hari ini, Tei mengeluarkan rakaman video perbualan dia dengan Kitingan yang juga Presiden Star.
Ahli perniagaan terbabit mendakwa ahli politik veteran berkenaan menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan yang didedahkannya, iaitu RM1.78 juta.
Dalam rakaman itu, Tei juga mendakwa telah membayar lebih RM500,000 kepada timbalan Kitingan dan Adun Sook, Ellron Alfred Angin, dan RM300,000 lagi kepada Adun Bingkor, Robert Tawik, yang juga Timbalan Presiden Star.

Pada Jun lalu, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik Sabah terlibat dalam skandal berkenaan selepas sumber memberikan tangkapan skrin yang kononnya diambil dari video serupa.
Pada masa itu, Kitingan menolak dakwaan itu sebagai “tidak berasas sama sekali” dan menganggap ia sebahagian daripada langkah politik untuk “mengganggu kestabilan, merosakkan dan menjatuhkan” kerajaan Sabah.
Pemimpin PBS yang terlibat ialah pemangku presiden parti itu, Joachim Gunsalam, yang turut menafikan dakwaan berkenaan, pendahulunya Maximus Ongkili, dan timbalan presiden Jahid Jahim.
Sebelum ini, Tei telah mengeluarkan sembilan rakaman yang membabitkan Adun dan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya, mendakwa rasuah sebagai pertukaran lesen cari gali mineral.






