Malaysia Oversight

Papagomo diperintah bela diri kes hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

By MkiniBM in September 24, 2025 – Reading time 1 minute
Papagomo diperintah bela diri kes hasut, datangkan kebencian terhadap Agong


Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, membela diri atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azri.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan mahkamah pihaknya akan mengemukakan seorang saksi iaitu Wan Muhammad Azri sendiri pada prosiding membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Nov ini untuk Wan Muhammad Azri memberi keterangan.

Pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri, 42, yang juga bekas Exco Pemuda mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 12 tengah hari 29 April tahun lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu, yang bermula pada Oktober tahun lepas, menyaksikan sembilan saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.

– Bernama



Source link