Malaysia Oversight

Siasatan aset Mahathir diperluas ke Switzerland

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Siasatan aset Mahathir diperluas ke Switzerland


CYBERJAYA: Siasatan kes berkaitan aset yang dipercayai dimiliki oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diperluas ke Switzerland, selepas United Kingdom (UK).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan, ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dari kedua-dua negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat.

“Kita juga melihat kepada negara lain seperti Switzerland. (Ketika ini) kami masih lagi berkolaborasi dengan pihak berkuasa di UK antaranya IACCC (International Anti-Corruption Coordination Centre).

“Pusat ini adalah salah satu pihak berkuasa yang sedang membantu kami sekiranya ada apa-apa aset yang melibatkan Tun Mahathir, namun masih belum ada perkembangan,” katanya selepas menghadiri ‘Integrity and Leadership Day 2025′ di Universiti Multimedia di sini hari ini..

Azam berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat sebarang perkembangan berhubung siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri itu,

Sebelum ini, media melaporkan, siasatan terhadap Tun Dr Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimiliki beliau di UK. Bekas Perdana Menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta sejak tahun lalu.

Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak beliau diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Pada 21 Jan lalu, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.

Dalam perkembangan lain, Azam memberitahu pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes ‘counter setting’ dan setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu dibuat.

“Siasatan sedang dilengkapkan dan tidak ada tambahan tangkapan baharu. Saya telah mengarahkan untuk mempercepatkan siasatan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

“Selepas itu sekiranya ada perkembangan lanjut sama ada tuduh atau tidak, saya akan maklumkan,” katanya.

Sebelum ini, rekod kewangan ahli keluarga atau rakan sekutu kepada individu yang telah ditahan berhubung sindiket ‘counter setting’ turut akan diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Azam, siasatan yang dijalankan itu akan melibatkan sesiapa sahaja yang didapati mempunyai kaitan dengan individu terbabit. – UTUSAN





Source link