Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) agensi itu kerana disyaki memiliki dadah.
Menurut kenyataan SPRM, individu berkenaan baru sahaja melapor diri di suruhanjaya itu pada minggu lalu dan ditahan pihak polis di kediamannya semalam.
Hasil pemeriksaan turut menemui bahan terlarang berkenaan.
SPRM memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut serta memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh.
“SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan dan komited untuk memastikan integriti serta tata kelola organisasi sentiasa dipelihara,” kata kenyataan itu.