Dengan MyKad menjadi kaedah utama dalam tuntutan subsidi petrol RON95, rakyat akan diingatkan tentang keistimewaan sebagai warga Malaysia, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Menjelaskan rasional di sebalik langkah itu, Amir Hamzah berkata kerajaan telah meneliti semua pilihan sebelum menentukan mekanisme terbaik.
“Setiap kali rakyat pergi mengisi minyak sekarang, mereka akan melihat IC dan ingat mereka menerima manfaat kerana mereka adalah warganegara.
“MyKad sebagai mekanisme adalah penting (kerana ia menonjolkan) faedah memiliki IC (dan) keistimewaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Shah Alam, Selangor hari ini.
Katanya lagi, memandangkan subsidi RON95 secara menyeluruh pada masa ini dinikmati semua pengguna tanpa mengira status kerakyatan, warga Malaysia tidak merasai diri mereka “istimewa”.
“Tetapi, kini kita boleh gunakan MyKad untuk menentukan mereka yang layak menerima subsidi… kita kekal dengan mekanisme yang akan memastikan subsidi sampai kepada individu yang layak,” katanya lagi.

Ketika mengumumkan subsidi bersasar RON95 semalam, yang dinamakan Budi95, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua rakyat yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah layak untuk menikmatinya.
Dia juga berkata menerusi program tersebut, yang akan berkuat kuasa secara berperingkat bermula 27 September, semua rakyat boleh membeli RON95 pada harga subsidi sehingga 300 liter sebulan.
Pengecualian diberikan kepada pemandu e-hailing yang boleh memohon had lebih tinggi.
Sebelum pengumuman itu, bekas ahli Parlimen DAP Tony Pua mengingatkan agar MyKad tidak digunakan sebagai kaedah utama menuntut subsidi, dengan menekankan risiko keselamatan yang berkait dengan penggunaan kad tersebut di tempat awam
Mekanisme cegah salah guna
Sementara itu, Amir Hamzah hari ini berkata kerajaan sedang meneliti mekanisme untuk mengelakkan penyalahgunaan petrol RON95 bersubsidi.
Katanya, langkah itu penting untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang cadangan kawalan.
“Kita tahu subsidi bersasar ada risiko kebocoran, tetapi kita tidak boleh ‘mengunci’ semuanya kerana itu akan membebankan rakyat, dan ianya tidak praktikal,” katanya.
Dia berkata antara langkah yang sedang dipertimbangkan kerajaan termasuklah penetapan had masa bagi individu yang layak menerima subsidi.
“Mungkin kita tidak akan benarkan warga isi minyak setiap 10 minit (bagi mengelakkan) mereka berlegar di stesen minyak sambil berulang kali cuba mengimbas MyKad.
“Kita juga mungkin menetapkan had tertentu berapa banyak petrol yang boleh dituntut menggunakan satu MyKad sehari. Perkara-perkara inilah yang masih diteliti,” katanya lagi.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan kemudian, Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk mengehadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari.
Katanya, menghadkan satu pembelian setiap hari adalah “jelas tidak selaras” dengan matlamat program Budi95 yang bertujuan untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dipenuhi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular dakwaan pihak tertentu kononnya pembelian petrol RON95 untuk rakyat negara ini hanya dibenarkan sekali sehari.
Terdahulu hari ini, Amir Hamzah berkata kerajaan akan memantau kekerapan individu menebus petrol RON95 bersubsidi dan akan menghalang berlakunya transaksi berganda pada hari yang sama.