KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Kecergasan Bertauliah (ACTIF) menyeru kerajaan untuk memberi penekanan yang lebih besar terhadap pencegahan dalam agenda kesihatan negara dengan menekankan bahawa menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) melalui gaya hidup sihat adalah kunci untuk membina sistem yang mampan pada masa hadapan.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2023), hampir 29 peratus orang dewasa Malaysia menghidap hipertensi, seorang daripada tiga mempunyai kolesterol tinggi dan sekitar 16 peratus menghidap diabetes.
Lebih membimbangkan, lebih daripada 2.3 juta rakyat Malaysia kini hidup dengan tiga atau lebih daripada keadaan ini secara serentak.
Presiden ACTIF, Mohd. Husaini Mohd. Yusoff berkata, angka-angka ini menekankan keperluan mendesak untuk memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan seiring dengan reformasi berani Kerajaan dalam bidang kesihatan.
“Malaysia sedang berdepan dengan krisis NCD yang serius dengan implikasi sosial dan ekonomi yang besar.
“Kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dengan inflasi perubatan dianggarkan pada 15 peratus pada tahun 2023 menjadikan pencegahan bukan sahaja keutamaan kesihatan tetapi juga keperluan ekonomi,” katanya.
Beliau menyambut baik reformasi terkini Kementerian Kesihatan termasuk pengenalan model pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG), penambahbaikan skim insurans dan takaful kesihatan, serta langkah untuk memperkukuh pembiayaan dan pendigitalan.
“Ini adalah reformasi penting dan tepat pada masanya yang akan menjadikan sistem kesihatan Malaysia lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.
“Namun, melainkan pencegahan dijadikan tonggak utama strategi, kita akan terus berdepan dengan kos yang tidak mampan dan kesihatan rakyat yang semakin merosot,” tambahnya.
Mohd. Husaini menegaskan bahawa pencegahan tidak boleh dicapai melalui tindakan kerajaan sahaja sebaliknya mesti menjadi tanggungjawab bersama.
“Ia memerlukan usaha kolektif. Pembuat dasar mesti mengintegrasikan promosi kesihatan di sekolah, tempat kerja dan komuniti.
“Geran dan insentif harus menyokong program yang menggalakkan aktiviti fizikal dan pemakanan sihat, manakala perancangan bandar mesti menyediakan ruang selamat untuk rakyat bersenam dan berinteraksi.
“Pada masa sama, kempen awam mesti melangkaui kesedaran kepada motivasi dan pemerkasaan yang membantu rakyat Malaysia percaya bahawa pilihan yang lebih sihat boleh dicapai dan berbaloi,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting industri kecergasan dan pendidik kesihatan.
“Jurulatih, pengamal kecergasan dan pendidik kesihatan sedia memainkan peranan, tetapi sumbangan mereka mesti diiktiraf dan disokong melalui dasar, pembiayaan dan kerjasama.
“Hanya dengan cara itu kita dapat membina budaya pencegahan yang kukuh yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” jelasnya.
ACTIF mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam menyokong matlamat kesihatan negara dan menggalakkan budaya pencegahan.
“Dengan melabur dalam pencegahan hari ini, kita akan dapat mengurangkan beban jangka panjang NCD, mengawal kos penjagaan kesihatan, dan membina Malaysia yang lebih sihat dan produktif untuk generasi akan datang,” katanya. –