PETALING JAYA: Legenda bola sepak Selangor, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan skuad Gergasi Merah perlu segera memperbaiki prestasi mereka jika mahu benar-benar membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa dan lebih menyerlah di saingan domestik.
Katanya, Selangor FC (SFC) ketika ini, dilihat masih gagal mempamerkan rentak konsisten meskipun memiliki peluang beraksi dalam dua kejohanan besar iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC), musim ini.
“Tahun lepas, kita tahu ada beberapa kelemahan yang ada pada Selangor. Jadi, kita berharap dengan dua kejohanan iaitu ACL dan Shopee Cup, maknanya kita mahukan yang lebih daripada Selangor untuk memberi saingan dan membawa nama Malaysia.
“Tapi kebelakangan ini, kita masih lagi nampak (Selangor) tidak tersusun dan tidak mendapat kombinasi yang baik. Kita sudah melihat keputusan (di mana) mereka sudah tewas tiga perlawanan.
“Jadi, ini sesuatu yang harus diperbaiki demi kebaikan bola sepak domestik dan nasional,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia, melaporkan Selangor seperti hilang sengat berikutan prestasi tidak konsisten pada permulaan musim 2025/26, dan perkara itu seolah-olah memberi gambaran bahawa musim yang sukar sedang menanti mereka.
Memiliki reputasi gah suatu ketika dahulu, selain status sebagai pasukan dengan bajet kedua terbesar di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor seharusnya mampu menghadiahkan pencapaian setimpal kepada penyokong setia mereka.
Namun begitu, apa yang berlaku setakat ini masih belum mencerminkan kehebatan yang diharapkan dalam tempoh sedekad, di mana JDT menguasai saingan liga domestik, manakala Selangor pula ‘statik’ dengan pencapaian sama.
Selangor FC sudah tewas tiga daripada lima aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan, dua kekalahan terbaharu iaitu tumbang 4-2 di tangan Bangkok United dan tewas 1-0 kepada Kuching City.
Justeru, Zainal menggesa pasukan gergasi Lembah Klang itu segera bangkit agar tampil lebih cemerlang di pentas domestik dan juga Asia. – UTUSAN