SEPANG: Hakim Danish Ramli sudah membulatkan tekadnya untuk beraksi di dalam perlumbaan Moto3 dan tiada pelan B daripada pelumba muda itu melainkan beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.
“Secara peribadi, saya memang nak pergi ke Kejuaraan Motosikal Dunia, kalau diberikan peluang dan belum ada pelan B lagi, hanya ikut arahan abang Fahmi (Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin),” katanya yang menamatkan saingan Piala RedBull MotoGP Rookies di tangga ketiga keseluruhan selepas mengumpul 171 mata.
Anak muda itu berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba dari Misano, Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Turut menyambut kepulangannya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan-JBSN), Abd Aziz Abd Rahman.
Situasi Hakim Danish pada ketika ini masih menjadi tanda tanya kerana sehingga ke saat ini tiada sebarang jawapan yang pasti tentang penyertaannya dalam perlumbaan Moto3, tahun depan.
Sedangkan, pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang muncul selaku juara keseluruhan selepas mengutip 236 mata, telahpun menandatangani kontrak bersama pasukan Moto3 iaitu KTM Ajo.
Malah, apa yang lebih mengejutkan pelumba Argentina, Marco Morelli yang hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan dengan pungutan 136 mata, juga disahkan akan menyertai Moto3 bersama pasukan CFMoto Aspar Team.
Selain Uriarte yang sememangnya layak secara merit selaku juara, tetapi, Morelli berjaya berbuat demikian kerana dia tidak berdepan masalah bagi mendapatkan sokongan penaja.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Hakim Danish berkata, sejujurnya untuk Uriarte, dia seorang pelumba yang memang laju dan sejak awal musim lagi, pelumba itu dijadikan sebagai penanda aras untuknya mengejar impian ke Moto3.
“Tetapi malangnya, keputusan tiga pusingan terakhir saya tak berapa bagus dan saya akui perlu terus berusaha untuk maju ke hadapan.
“Semestinya saya mahu pergi ke Kejuaraan Dunia, tapi saya perlu lihat juga prestasi saya dan saya letak semua keputusan kepada abang Fahmi. Sebab dia yang uruskan saya, saya ikut sahaja apa yang dia tetapkan,” katanya yang menyimpan impian mengikut jejak Hafizh Syahrin Abdullah berlumba dalam kelas utama, MotoGP satu hari nanti.
Walaupun, Piala RedBull MotoGP Rookies telahpun berakhir, tetapi, Hakim Danish masih lagi perlu meneruskan perjuangan di dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP yang berbaki dua pusingan iaitu di Litar Catalunya, Barcelona (2 November) dan Litar Ricardo Tormo, Valencia (23 November).-UTUSAN