JPN Mungkin Melanjutkan Waktu Operasi Kaunter Untuk Menampung Permintaan Menukar MyKad
Nazrin
Semalam pihak kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran telah mengumumkan bahawa bersempena dengan pengumuman sistem subsidi petrol bersasar BUDI95 yang akan dilancarkan pada 30 September ini, pihak Jabatan Pendaftaran Negara turut mengumumkan bahawa rakyat Malaysia boleh menukar MyKad yang rosak secara percuma untuk tempoh terhad.
Anggaran pihak kerajaan ialah ramai rakyat Malaysia akan mahu menukar kad pengenalan MyKad mereka untuk memastikan bahawa mereka boleh menikmati harga subsidi bersasar tersebut. Oleh itu, pihak kerajaan akan melanjutkan waktu operasi kaunter penukaran MyKad di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara dan juga Pusat Transformasi Bandar di seluruh negara bergantung kepada permintaan semasa.

Itu adalah apa yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga mengatakan bahawa lanjutan waktu operasi adalah sesuatu yang sering dilakukan oleh pihak JPN sekiranya terdapat permintaan tinggi untuk ia dilakukan oleh rakyat.
Seperti yang dilaporkan semalam, purata permintaan pertukaran MyKad rosak telah meningkat ke 40,000 kad sebulan pada tahun ini, berbanding 30,000 pada tahun sebelum ini. Bermula semalam, 22 September sehingga 7 Oktober 2025, rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad yang rosak boleh menukarnya sepanjang dua minggu tersebut secara percuma. Sebelum ini, gantian MyKad yang rosak hadir dengan yuran menukar sebanyak RM10.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






