Malaysia Oversight

Liek Hou tak menyesal ‘bersuara’ isu ganjaran Paris 2024

By MkiniBM in September 23, 2025 – Reading time 2 minute
Liek Hou tak menyesal 'bersuara' isu ganjaran Paris 2024


Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menegaskan beliau tidak menyesal bersuara mengenai isu ganjaran dijanjikan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Pemenang dua kali pingat emas perseorangan lelaki SU5 itu berkata tindakannya dibuat bagi melindungi hak semua atlet para, termasuk rakan sepasukan dan atlet muda yang bakal mewakili negara.

“Kalau saya tidak bersuara, perkara ini mungkin akan berulang kepada atlet para lain. Saya akan lakukan yang terbaik untuk mewakili mereka dan mencari penyelesaian,” katanya pada sidang media di hari ini.

Beliau berharap isu itu tidak berulang pada masa depan dan mencadangkan semua pihak menggunakan ‘template’ penajaan oleh inisiatif Road To Gold (RTG) bagi memastikan ganjaran penaja didokumenkan secara rasmi.

Terdahulu, Liek Hou, 38, bersama jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, masing-masing menerima ganjaran tambahan RM35,000 daripada syarikat rangkaian kedai runcit 99 Speed Mart Sdn Bhd susulan kejayaan meraih emas di Paris 2024.

Atlet olahraga Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli pula menerima RM15,000 setiap seorang selepas menyumbang pingat perak, manakala Eddy Bernard memperoleh RM7,000 hasil kejayaan membawa pulang gangsa, menjadikan keseluruhan sumbangan syarikat itu sebanyak RM107,000.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang media sama menjelaskan sumbangan berkenaan tidak termasuk dalam senarai tiga syarikat diumumkan MPM sebelum ini, yang dilaporkan mahu memberi ganjaran RM60,000 kepada pemenang emas Paralimpik 2024.

Menurut Liek Hou, ganjaran tambahan diterimanya hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM60,000 seperti dijanjikan MPM, selepas beliau menerima RM25,000 daripada badan induk sukan para itu.

Sebelum ini, Liek Hou mendakwa MPM gagal menunaikan insentif RM60,000 yang dijanjikan selepas kejayaannya di Paris dan meluahkan kekecewaan itu menerusi media sosial.

– Bernama



Source link