Muda menyifatkan kerajaan gagal melaksanakan subsidi bersasar RON95 kepada 85 peratus rakyat Malaysia apabila memperkenalkan inisiatif Budi Madani Ron 95 (Budi 95) kepada semua warganegara.
Ketua Penerangan Muda, Leben Siddarth berkata, keputusan itu menunjukkan kerajaan gagal melaksanakan mekanisme subsidi bersasar dengan berkesan.
Katanya, sebelum ini, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah, berulang kali menegaskan bahawa kerajaan akan menggunakan sistem Pengkalan Data Utama (Padu) untuk menentukan kelayakan penerima subsidi.
“Janji subsidi bersasar ini dianggap sebagai langkah penting untuk memastikan keadilan sosial dan mengurangkan kebocoran.
“Namun, keputusan terbaru jelas menunjukkan kegagalan kerajaan mencari mekanisme yang tepat, lalu memilih jalan populis yang menjejaskan disiplin fiskal negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tiada had pendapatan dikenakan bagi subsidi RON95, dengan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah boleh menebus sehingga 300 liter RON95 bersubsidi sebulan.
Dalam ucapannya di Dewan Negara pada 8 Sept lalu, Amir berkata kerajaan akan menggunakan data Padu untuk memastikan hanya mereka yang layak boleh menggunakan MyKad bagi mendapatkan RON95 bersubsidi.

Namun kerajaan kemudian mengumumkan inisiatif Budi 95, yang hanya menghasilkan penjimatan fiskal negara berjumlah RM4 bilion setahun, berbanding unjuran penjimatan RM8 bilion setahun sekiranya subsidi bersasar dilaksanakan.
‘Hanya hadkan subsidi’
Mengulas lanjut, Leben berkata pelaksanaan Budi95 akan menekan keluarga M40 di kawasan bandar, khususnya mereka yang menggunakan lebih daripada 300 liter petrol sebulan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Sementara itu, proses pembelian petrol dijangka menjadi lebih rumit dengan keperluan pengesahan kad pengenalan, dan risiko ketirisan baharu turut wujud apabila kuota subsidi yang tidak digunakan boleh disalahguna atau dijual di pasaran gelap.
“Semua ini menunjukkan bahawa apa yang dinamakan “penyasaran semula” sebenarnya hanyalah langkah menghadkan subsidi, bukan menyalurkannya dengan lebih tepat,” katanya.