Kerajaan akan akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan bagi memastikan golongan yang menerima subsidi petrol RON95 tidak menyalahgunakan kemudahan itu termasuk membuat isian berulang kali dalam tempoh sehari.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata matlamatnya adalah untuk memastikan subsidi berkenaan benar-benar dinikmati oleh rakyat yang layak dan bukannya pihak lain termasuk warga asing atau pihak yang mahu mengambil kesempatan.

“Kita tidak akan membenarkan mereka yang buat banyak kali penggunaan petrol subsidi dalam sehari.
“Kerajaan mempunyai rekod lengkap penggunaan termasuk jumlah isian petrol yang dibuat oleh individu dalam sehari atau sebulan sekali gus membolehkan pemantauan selepas pelaksanaan dibuat, kita akan terangkan mengenainya nanti,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jelajah Mega e-Invois di Menara Hasil, di George Town, hari ini.
Tidak jelas bagaimana tindakan ini akan memberi kesan kepada pemandu jarak jauh yang perlu mengisi minyak lebih daripada sekali sehari.
Amir Hamzah dijadualkan menjawab isu ini dan soalan lain mengenai skim subsidi Budi95 pada sidang media petang nanti.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jabatan Pendaftaran Negara telah menyelaras data MyKad dengan Kementerian Kewangan untuk membendung penyalahgunaan subsidi.
Katanya, sebelum data itu diselaraskan terdapat lebih 100 kes yang Bantuan Keperluan Asas Rahmah (Sara) ditebus menggunakan MyKad yang dilaporkan dicuri.